Ahad, September 30, 2012

12 SUSPEK DIKEHENDAKI KES BUNUH; WARGA ASING DITEMUI MATI PERUT TERBURAI

12 suspek dikehendaki dalam kes bunuh

LAHAD DATU 30/09/2012: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) daerah Lahad Datu telah menahan seorang lelaki dan mengesan 12 lagi suspek lain bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki dalam satu kejadian di Kampung Air, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superitendan Shamsudin Mat dalam sidang media bersama wartawan berkata, dalam kejadian yang berlaku pada jam 12.41 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Ibnu Sala, 56, mati sebaik tiba di Hospital Daerah Lahad Datu akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang leher, perut, belakang badan dan di kepala selepas diserang oleh sekumpulan lelaki yang bersenjata tajam dalam pergaduhan itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham yang timbul di antara mereka hingga menyebabkan dua lagi ahli keluarga mangsa turut mengalami kecederaan dan salah seorang daripadanya parah.

“Manakala salah seorang lelaki daripada kumpulan 12 orang suspek yang dikehendaki itu difahamkan turut mengalami cedera ringan, ketiga-tiga mangsa yang berumur lingkungan 16 hingga 44 tahun itu cedera kebanyakannya di bahagian tangan.

“Walau bagaimanapun, suspek utama dalam kejadian itu telah berjaya ditangkap satu setengah jam kemudian di kawasan berhampiran selepas sepasukan anggota JSJ dikerah bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Shamsudin berkata, pihaknya kini turut dibantu oleh cawangan dari unit D9 daerah Kota Kinabalu yang tiba di sini bagi membantu, mengesan dan menangkap 12 suspek yang dikehendaki itu.

“Dengan adanya bantuan itu, pihak kita percaya kesemua suspek yang masih berada di dalam daerah ini akan berjaya ditangkap dalam masa terdekat berdasarkan maklumat-maklumat yang telah dikumpul dan diperolehi,” katanya sambil menambah, dalam kejadian itu pihaknya juga turut merampas beberapa senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau turut mengingatkan kepada orang awam atau masyarakat di daerah ini supaya tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang di tangan sendiri sekiranya berlaku kejadian-kejadian seperti itu.

“Ini bagi mengelakkan diri mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka membuat undang-undang sendiri tanpa memaklumkan sesuatu kejadian itu kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, Shamsudin berkata seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan terlentang di kawasan semak dengan keadaan perut terburai serta cedera di bahagian tengkuk hingga ke dada dipercayai mati akibat dibunuh.

Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Ubi Jalan Dam itu, pihaknya telah menerima satu laporan daripada rakan mangsa berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.30 pagi dan mengerahkan sepasukan anggota JSJ bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya telah menjumpai mayat lelaki terbabit yang dikenali sebagai Salih Khan berumur 30 tahun dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah, dan dipercayai telah dibunuh sehari sebelum mayat mangsa dijumpai.

Ekoran itu, pihaknya juga telah menahan seorang wanita berumur 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Pihak kita juga telah mengenal pasti suspek utama dalam kejadian itu yang merupakan seorang lelaki berumur lingkungan 40-an dan merupakan seorang pekerja di salah sebuah syarikat perladangan.

“Kita percaya suspek akan dapat ditangkap dalam masa terdekat ini,” katanya sambil menambah, pihaknya juga telah merampas satu senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu pada jarak kira-kira 250 meter daripada tempat mayat ditemui.

Kedua-dua kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kes masih diteruskan. Orang ramai yang melihat, terdengar atau mengetahui akan kejadian itu diminta supaya menghubungi pegawai penyasat iaitu Insp Abdul Mutalib Harun di talian 013-5470133 atau ASP Ang Siow Aun di talian 016-8799320 bagi memaklumkan sebarang maklumat yang berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan