Khamis, Ogos 23, 2012

'SAMPAI BILA KAMI DIPINGGIRKAN?'

'Sampai bila kami dipinggirkan?'

Baliah Nanang tidak menghiraukan keselamatan demi mendapatkan bekalan air di Kampung Lilud.

KOTA BELUD 19 Julai - Tiada apa yang dapat dibanggakan oleh penduduk Kampung Lilud Tamau di sini sejak pembentukan Malaysia pada 1963, kecuali cerita duka tentang kampung mereka yang selalu terlepas pandang daripada arus kemajuan.

Mungkin ia amat pahit dan perit untuk diketahui umum, tetapi itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh mereka saban tahun.

Kampung yang dikelilingi Sungai Magutang itu berjiran dengan Tamau, Merbau, Kotabungan, Kawa-kawa dan Pantai Emas yang begitu gah dengan pelbagai pembangunan seperti pembinaan sekolah baru, masjid, jalan raya dan gelanggang futsal.

Demikian juga dengan program pembekalan air bersih yang giat dijalankan di kampung- kampung berkenaan, membuatkan penduduk Kampung Lilud Tamau 'kempunan' apabila hanya sekadar dapat menyaksikan proses pemasangan sistem pembetungannya melepasi kampung mereka.

---------

Hakisan tebing ancam penduduk

Penduduk menunjukkan keadaan tebing yang terhakis akibat air Sungai Magutang, Kampung Lilud. pasang terutama pada musim hujan.

KOTA BELUD 19 Julai - Tidak cukup dengan kesukaran penduduk Kampung Lilud untuk mendapatkan bekalan air bersih, mereka juga terancam oleh hakisan tebing setiap kali Sungai Magutang pasang.

Jalan masuk ke kampung itu yang terletak berhampiran tebing sungai itu juga dikhuatiri rosak atau terputus pada bila-bila masa akibat fenomena alam yang pasti berlaku setiap hari itu.

Awang Sah Lopong, 30, melahirkan kebimbangannya kerana jalan yang dimaksudkan itu adalah satu-satunya jalan masuk ke kampung tersebut yang mempunyai hampir 400 penduduk.

"Saya bimbang keadaan itu kerana jalan tersebut berdekatan dengan simpang jalan masuk ke sini dan berdekatan pula dengan masjid. Ia mengundang bahaya kepada orang awam, khususnya kanak-kanak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sambil menunjukkan sebatang tiang yang tergantung daripada sebuah jeti akibat hakisan, Awang Sah berkata, sudah tiba masanya pihak berkaitan memantau dan mencari jalan untuk memperbaiki keadaan.

Menurutnya, pemasangan konkrit di sepanjang tebing sungai adalah cara yang sangat sesuai ketika ini untuk mengelakkan hakisan itu menjadi semakin kritikal.

Sairuna Lahap, 63, yang mengusahakan gerai kedai kopi secara kecil-kecilan berhampiran dengan tebing sungai itu pula menggesa para pemimpin menunaikan hasrat Perdana Menteri 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

"Kami tidak meminta bangunan tinggi-tinggi atau kompleks beli-belah didirikan di kawasan ini, tetapi cukuplah sekadar idea dan pelaksanaan yang rapi bagi menampan hakisan tebing," keluhnya.

Sungai Magutang yang menjadi sebahagian cabang Sungai Tempasuk kaya dengan sumber makanan laut yang menjadi mata pencarian penduduk seperti getik iaitu sejenis lokan yang besar, ketam bakau, udang dan ikan, malahan sebahagian kawasan di sungai ini dihuni oleh monyet belanda.

Oleh MABULMADDIN SHAIDDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan