Ahad, Julai 08, 2012

PEMILIK GERAI SIMPANG BONGKUD RANAU MOHON TAPAK GERAI DILUASKAN

Pemilik gerai simpang Bongkud mohon tapak gerai diluaskan

RANAU July 8, 2012: Para pemilik gerai jualan Simpang Bongkud Marak-Parak, kira-kira 16 kilometer dari pekan, memohon jasa baik kerajaan supaya memindahkan kedudukan sungai Pangakatan bagi meluaskan tapak perniagaan mereka yang kini semakin mendapat perhatian di kalangan pelanggan di situ.

Gerai-gerai yang berada betul-betul di bawah garisan pendawaian elektrik menyebabkan pemilik tidak boleh memohon bekalan elektrik dari SESB.

Jurucakap peniaga, Wainsing Kamalid berkata kedudukan gerai yang mereka bina di kawasan itu pada masa ini agak sempit malah pelanggan berhadapan dengan masalah parkir kereta ketika datang melanggan di situ.

Selain itu, masalah utama peniaga ialah berkenaan kemudahan bekalan lampu elektrik yang tidak boleh dipohon dari Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerana kedudukan gerai berada di bawah garisan pendawaian letrik.

Menurutnya, sekiranya kedudukan sungai Pangakatan yang terletak selari dengan gerai itu diubah sedikit ke belakang, maka tapak akan menjadi lebih besar bagi membolehkan gerai-gerai itu dipindahkan.

Wainsing meluahkan permasalahan itu semasa berucap di majlis penyerahan zink kepada seramai 38 pemilik gerai terbabit oleh wakil rakyat kawasan itu, Datuk Dr Ewon Ebin, yang disempurnakan oleh Setiausaha Perhubungannya, Japari Yadam.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN), seorang penerima zink yang juga merupakan peniaga terawal di gerai itu, Julita Yapi, berharap supaya permasalahan itu dapat diberi perhatian sewajarnya dengan segera untuk membolehkan mereka berniaga dengan lebih selesa.

Katanya, para penjual di gerai itu yang 100 peratus penduduk tempatan dari Kampung Bongkud/Namaus kini sangat serasi dengan perniagaan di situ yang boleh memberikan mereka pulangan lumayan.

Lokasi pembinaan gerai di situ yang terletak di antara beberapa buah kampung terdekat seperti Bongkud/Namaus, Lohan, Perancangan, Napong, Silad, Randagong Baru dan Taman Air Panas Poring menjadikan ia semakin popular untuk dikunjungi pelanggan.

Selain itu, barangan jualan yang terdiri dari pelbagai jenis termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam hidup, ikan, makanan ringan dan kraftangan memudahkan penduduk sekitar memperolehinya tanpa pergi jauh ke pekan, tambahnya.

Pembinaan jalanraya besar dari Ranau ke Marak-Parak dalam daerah Kota Marudu yang melintasi lokasi itu turut memberikan impak yang sangat besar kepada para peniaga gerai ini dalam menjana pendapatan mereka.

Dalam ucapan ringkasnya, Japari memohon supaya para penerima zink menggunakan sepenuhnya kemudahan itu dengan memasangnya di gerai berkenaan bagi membolehkan pihak audit melihat bukti penerimaan kemudahan itu.

9 ulasan:

  1. Hopefully the request by sellers from Simpang Bongkud Marak-Parak will get the attention from the government.

    sabah-go-green.blogspot.com

    BalasPadam
  2. If they are able to move their stalls back, the seller would be able to get their electricity from SESB.

    sabah-go-green.blogspot.com

    BalasPadam
  3. harap permintaan peniaga2 gerai2 tesebut akan diterima.

    BalasPadam
  4. Bawa perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan suara peniaga ini sampai kepada pihak atasan.

    BalasPadam
  5. Bukan gerai tu 'makan' rizab jalan sudah ka tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pihak berkenaan perlu menyelesaikan masalah tu.

      Padam
  6. Mudah2 permohonan mereka dapat dipertimbangkan dan diselesaikan.

    BalasPadam
  7. memindahkan kedudukan sungai? macam mana tu?

    BalasPadam
  8. saya harap kerajaan dapatlah melakukan sesuatu dan bagi saya lebih elok jika kerajaan dapat menyediakan lot kedai yang lebih kukuh, cantik dan kemas..

    BalasPadam