Saya kurang selesa pindaan Akta Keterangan - Khairy
Jun 16 2012 Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa 'kurang selesa' terhadap pindaan Akta Keterangan 1950 yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi bertemu pengikut Twitternya di sebuah restoran di ibu negara, Khairy berkata, pindaan akta tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya.
Menurut Khairy, beliau sebelum ini telah membangkitkan isu tersebut kepada peguam negara sebelum ia dipinda.
"Kita telah bangkitkan isu beban bukti kepada peguam negara mengenai perkara. Saya serahkan kepada kerajaan untuk mengkaji sama ada perlu atau tidak tarik balik akta tersebut.
"Pandangan peribadi saya ada sedikit kelompongan. Sebab beban bukti itu sekarang ini bukan diberi kepada yang menuduh tetapi yang tertuduh. Biasanya beban bukti ini ada kepada orang yang buat tuduhan.
"Tetapi pindaan akta ini, beban bukti itu dipindah kepada si tuduh. Jadi agak luar biasa dan saya sendiri secara peribadi kurang selesa dengan keadaan tersebut," katanya.
Pindaan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkan pindaan pada Fasal 2 yang bertujuan menggantikan takrif komputer dengan takrif komputer yang baru yang lebih komprehensif dan selaras dengan takrif komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.
Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut pula memperuntukkan supaya memasukkan seksyen baru, 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2012 pada 18 April lalu berkata, penggunaan nama samaran ataupun ketanpanamaan oleh mana-mana pihak untuk melakukan jenayah siber menyukarkan tindakan diambil terhadap mereka.
Justeru, katanya Akta Keterangan 1950 perlu dipinda bagi menangani isu ketanpanamaan internet.
"Penggunaan nama samaran (oleh mana-mana pihak) amat menyukarkan pihak pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan kerana amat sukar untuk mendapatkan keterangan daripada nama samaran.
"Itulah kita terpaksa meminda Akta ini supaya kita dapat mendakwa dan mentaksirkan kesalahan kepada mereka yang menggunakan nama samaran," katanya.
Zulaikha Zulkiflli
Tiada ulasan:
Catat Ulasan