Ahad, Mei 06, 2012

ZED ZAIDI DESAK PUSPAL DAN IMIGRESEN

Zed Zaidi desak Puspal dan Imigresen

Zed Zaidi

6 Mei 2012: Penghijrahan selebriti luar negara bagi melebarkan karier di Malaysia bukan lagi perkara baru. Sejak dari zaman Studio Jalan Ampas lagi, ramai artis dari Singapura memilih untuk menetap di Malaysia dan seterusnya aktif dalam industri hiburan di sini.

Tidak kurang juga ada beberapa artis Malaysia, yang memilih untuk menetap dan melebarkan karier di negara luar seperti Ashraf Sinclair dan Kaer yang berhijrah ke Indonesia.

Namun, bagi Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, lambakan artis luar yang mencari rezeki di Malaysia kini akan menjadi barah kepada artis Malaysia jika tidak dicegah dengan segera.

Bagi mencegah ia menjadi lebih kronik, Zed mendesak dan mencabar Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) dan Jabatan Imigresen Malaysia, menyemak semula kemasukan artis-artis negara luar yang datang bekerja di sini.

“Saya cabar Puspal dan Imigresen, memeriksa semua artis luar yang datang bekerja di sini, adakah mereka mengikut saluran yang betul, dan mendapat permit betul untuk bekerja di sini.

“Saya juga nak tahu, jika mereka ada pas atau permit, dari mana mereka dapatkan, sama ada dari Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Saya percaya ramai yang bekerja di bawah pas lawatan sosial,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar ‘Kemelut Harga Pembelian Program TV’ di Saloma Bistro, Rabu lalu.

Zed berkata, lambakan artis luar ini, bukan sahaja menyebabkan artis Malaysia kurang mendapat tawaran, malah ada di antara mereka yang dibayar rendah dan seolah-olah ‘dianaktirikan’ di negara sendiri.

“Sebenarnya perkara yang kita tak nampak, apabila ada artis luar yang bekerja di Malaysia dan tidak mengikut saluran yang betul, mereka secara tidak langsung sedang merompak ekonomi negara.

“Bayangkan, ada di antara selebriti yang mampu mendapat pendapatan bulanan sehingga RM100,000 tetapi terlepas membayar cukai dan wang itu kesemuanya di bawa ke negaranya. Berapa pula keuntungannya untuk tempoh setahun?

“Ia sekali gus dapat merosakkan ekonomi industri seni itu sendiri jika tiada sesiapa yang mengendahkannya. Tetapi masalah paling besar bila orang kita sendiri turut menyanjung artis luar,” jelasnya.

Bukan kerana Aaron

Menurut Zed, ‘kekecohan’ dan kelancangannya memperkatakan mengenai kemasukan artis luar bukan kerana cemburu atau mahu menyekat kemasukan artis luar, tetapi sekadar mengawal sebelum ia menjadi lebih teruk.

“Ancaman dari artis luar juga menjadi satu perkara yang sangat perlu kita kawal supaya artis Malaysia dapat tawaran dan pendapatan tinggi di negara sendiri.w

“Malah, artis luar ini bila kita mengangkat dan menyanjung mereka ke peringkat tinggi, ia akan bagi rujukan kepada artis luar yang lain untuk turut sama memasuki Malaysia. Jadi artis kita nak makan apa di negara sendiri?”

Namun tatkala di tebak adakah ini bertitik tolak dengan kemenangan Aaron Aziz sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular 2011 (ABP2011), baru-baru ini, Zed pantas menafikannya.

“Ingin saya tegaskan di sini, kekecohan saya mengenai hal artis luar bukan kerana Aaron. Dia kawan saya dan dia pernah berlakon dengan saya. Malah ketika saya meluahkan mengenai perkara ini, saya tidak merujuk dia atau nama anugerah. Konsepnya di sini, siapa makan cili dia yang terasa pedas.

“Jika diikutkan, saya sudah menyuarakan perkara ini semenjak 2009 lagi. Kalau ada yang tidak percaya, anda boleh membuka blog saya dan membaca entri bertajuk ‘Kenapa kita perlu berbangga dengan pelakon, penyanyi dan pengacara luar?’ bertarikh 22 Jun 2009.

“Cuma kini, saya merupakan sebahagian wakil Seniman dan sebagai orang yang dilantik menjadi pemangku timbalan presiden, tidak menjadi satu kesalahan untuk saya memperjuangkan hak artis tempatan yang teraniaya.

“Saya amat berharap, desakan saya ini akan membuka mata semua pihak supaya kami, artis Malaysia boleh mencari makan di negara sendiri,” jelasnya.

Harun sokong

Sementara itu, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik menyokong usaha yang dilakukan oleh Zed berhubung dengan gesaan pemangku timbalannya itu.

Katanya, desakan yang dibuat Seniman kepada Puspal adalah untuk kebaikan semua pihak yang terlibat dalam industri seni.

Sebelum ini, ada kes krew yang datang dari India, bekerja di sini tetapi menggunakan pas pelawat.

“Malah kita juga tidak pernah mendapat apa-apa maklumat dari Puspal mengenai jumlah artis luar bekerja di sini.

“Jadi saya berbesar hati dan menyokong tindakan Zed yang mendesak Puspal menyemak kemasukan artis luar ke Malaysia,” katanya.

Malah, Harun turut menolak dakwaan sesetengah pihaknya yang mengatakan dia tidak sebulu dengan Zed.

“Saya rasa perselisihan faham yang terjadi sebelum ini hanyalah masalah komunikasi sahaja. Malah sebelum dia membuat keputusan untuk mendesak Puspal, dia sendiri ada berjumpa saya dan saya berbesar hati kerana mempunyai timbalan yang rajin,” katanya.

NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan