Sabtu, April 28, 2012

PENDUDUK TIMBANG DAYANG MINTA MASALAH TANAH DITANGANI SEGERA

Penduduk timbang dayang minta masalah tanah ditangani segera

image PENDUDUK Kampung Timbang Dayang bergambar bagi meminta masalah tanah mereka diberikan pertimbangan.

BANGGI April 28, 2012: Kemelut yang dihadapi ratusan pemohonan tanah di Kampung Timbang Dayang, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Karakit, boleh dirungkaikan sekiranya kerajaan bertindak adil dengan memberi keutamaan kepada pihak yang membuat permohonan lebih awal demi kepentingan rakyat.

Jurucakap penduduk, Salmah Marail, berkata penduduk kampung yang mendiami kampung lebih 20 tahun lalu meminta supaya hak mereka sebagai rakyat dan pemohon tanah diberi keutamaan dan tidak diketepikan begitu saja.

Beliau berkata penduduk telah mengusahakan tanah kampung itu dengan tanaman mangga, nangka, pisang, getah dan sebagainya dan membuat permohonan tanah sesuai dengan prosedur walaupun dari aspek tanah adat, mereka mempunyai hak lebih kuat terhadap tanah yang dipohon itu.

Salmah menggesa agar permohonan tanah mereka diberi pertimbangan dan kampung yang telah lama dahagakan pembangunan itu diberi prasarana yang memadai untuk kegunaan penduduk kampung.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat Unit Peladang Kawasan Timbang Dayang, di kampung itu, pada Khamis. Mesyuarat itu dirasmikan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kudat, Atong Mangabis.

Selain itu, beliau juga meminta supaya kerajaan mengkaji semula pembatalan permohonan tanah dalam Buku Daftar Permohonan Tanah Pejabat Tanah Kudat.

Menurut surat Penolong Pemungut Hasil Tanah Kudat, permohonan mereka tidak dapat diproses lanjut kerana permohonan tanah mereka termasuk dalam kawasan Parcel `A’ Felcra Bhd, iaitu usahasama dengan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, penduduk kampung merayu agar penduduk kampung yang lebih dulu membuat permohonan diberikan pertimbangan yang sewajarnya agar mereka tidak merasa tertindas kerana tindakan kerajaan memberikan tanah itu kepada pihak lain.

“Kami bukan menentang pembangunan.Malah kami mahu agar penyelesaian dapat dibuat melalui situasi menang-menang. Kerajaan dapat membawa pembangunan manakala rakyat tidak kehilangan hak mereka,” katanya.

Lebih 100 pemohon terbabit  dalam permohonan tanah melibatkan kawasan kira-kira 2,300 ekar di Mukim Timbang Dayang, Pulau Banggi.

Sementara itu, Atong menggesa kerajaan supaya membantu ahli-ahli peladang supaya mereka dapat mengusahakan tanah mereka.

Beliau juga meminta agar kerajaan memberikan prasarana termasuk pembinaan balai raya kepada penduduk kampung Timbang Dayang untuk keselesaan masyarakat di kampung itu.

Selain itu, beliau meminta agar permohonan tanah penduduk kampung diberikan keutamaan kerana sebagai anak negeri mereka berhak terhadap tanah yang mereka usahakan apatahlagi kerana mereka membuat permohonan tanah lebih awal daripada pihak lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan