SAYA terpanggil untuk meluahkan ketidakpuasan hati saya apabila membaca luahan SUE BEKAS GSTT yang disiarkan di ruangan ini sebelum ini.
Saya menulis luahan ini bagi mewakili adik saya yang masalahnya sama dengan Sue.
Pada 2011, beliau ditawarkan program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Sabah.
Malangnya, pada masa itu dia sedang sarat mengandung anak pertamanya selepas tiga tahun berkahwin.
Setelah menghubungi IPGM untuk mendapat maklumat lanjut, dia dikatakan tidak layak untuk mengikuti program itu kerana mengandung.
Sebelum itu, dia sudah lulus dalam sesi temu duga walaupun perutnya jelas membesar.
Pada Disember 2011, sekali lagi adik saya mendapat berita gembira apabila permohonannya untuk mengikuti latihan perguruan bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) diterima.
Selang beberapa minggu kemudian, dia menghubungi saya dan meminta menyemak tempat pengajiannya. Setelah membuat semakan, dia diminta melaporkan diri di salah sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Terengganu.
Pada tarikh berkenaan, adik saya melaporkan diri di IPTA itu dengan ditemani suaminya, anak kecilnya dan mentuanya. Untuk makluman, kedua-dua orang tua kami sudah meninggal dunia.
Saya dan adik-beradik yang lain tidak dapat bersamanya kerana kami tinggal berjauhan dan terikat dengan tugas masing-masing.
Setelah melalui orientasi dan mengikuti kelas selama beberapa hari, dia mendapat makluman daripada Bahagian Pendidikan Guru (BPG) bahawa dia sebenarnya tidak layak mengikuti pengajian dengan alasan dia sebelum ini adalah guru kontrak dan bukannya GSTT.
Pihak BPG mengakui kesilapan mereka yang terlepas pandang akan hal ini. Pada masa sama, satu lagi dugaan diterima, khabar buruk mengenai suaminya yang jatuh sakit secara mengejut sehingga tidak sedarkan diri.
Suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi di salah sebuah hospital di Kelantan. Sebelum keputusan muktamad mengenai pengajiannya dikeluarkan oleh BPG, adik saya berulang alik dari Kelantan ke Terengganu, menjaga suami yang semakin teruk keadaannya dan pada masa yang sama, meneruskan pengajiannya.
Akhirnya, BPG turun padang dan bersemuka dengan adik saya bagi memberi penjelasan dan alasannya, dia sebenarnya tidak layak mengikuti pengajian kerana bertaraf guru kontrak.
Adik saya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak BPG dan menerimanya dengan hati yang terbuka.
Walaupun perkara itu dianggap selesai oleh kedua-dua pihak, sebagai ahli keluarga, saya melahirkan ketidakpuasan hati saya terhadap pihak BPG.
Kesilapan semasa membuat proses pemilihan seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Mungkin bagi pihak BPG, ia adalah satu kesilapan yang kecil.
Saya menulis luahan ini kerana bersimpati dengan nasib yang menimpanya.
Masa depannya yang masih samar-samar lagi, ditambah dengan keadaan suaminya yang amat kritikal pada saat ini.
Kepada pembaca lain, beringatlah dengan ‘Tahniah, Permohonan Anda Berjaya!’ kerana ia mungkin akan ditarik balik.
Diharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan dan semoga ia menjadi pengajaran.
ARDIEY
Bukit Kayu Hitam
-----------------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan