Rabu, Mac 07, 2012

2,000 PENDUDUK KAMPUNG TUNTUT AKAUNTABILITI MASAALAH JALANRAYA 4KM BERNILAI RM3.7 JUTA ROSAK TERUK WALAUPUN BARU SIAP 6 BULAN LEPAS

Penduduk minta kontraktor beri perhatian masalah jalan raya

BELURAN 7th March, 2012: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Muanad 2 di sini meminta pihak kontraktor bertanggungjawab memberi perhatian dengan masalah jalan raya yang rosak dan berlubang di kampung itu.

Wakil penduduk, Rafael Lindan, 46, berkata jalan raya sepanjang empat kilometer yang menjadi laluan utama bagi penduduk kampung berkenaan telah dinaiktaraf pada tahun lalu dengan peruntukan lebih RM3.7 juta.

Bagaimanapun, katanya, jalan raya tersebut telah mendap, berlubang dan rosak meskipun baru sahaja siap dinaiktaraf kira-kira enam bulan yang lepas.

“Menurut pihak Jabatan Kerja Raya, jalan raya berkenaan rosak dan berlubang berikutan ianya telah dilalui oleh kenderaan yang membawa batu dan buah sawit yang melebihi had muatan.

“Bagaimanapun, kami percaya jalan raya ini cepat rosak dan berlubang disebabkan pembinaannya yang tidak berkualiti. Ini kerana jalan ini baru enam bulan dilaksanakan dan sudah dalam keadaan begitu teruk,” katanya.

Menurut beliau, meskipun jalan raya semakin teruk, namun pihak kontraktor sekadar menutup sebahagian lubang-lubang jalan dengan batu kecil dan tiada tindakan membaik pulih secara menyeluruh dilaksanakan.

“Kita tidak mahu wang kerajaan dibazirkan untuk projek kurang berkualiti seumpama ini. Jalan raya ini masih lagi di bawah jaminan pihak kontraktor.

Justeru, mereka perlu memberi perhatian dan membaik pulihnya dengan segera,” jelasnya.

Beliau berkata, disebabkan jalan raya yang mendap dan berlubang, ia telah menyukarkan penduduk khususnya bagi penduduk yang menggunakan kenderaan kecil untuk melalui jalan raya terutama apabila musim hujan.

Keadaan tersebut juga menyebabkan kereta penduduk rosak selain menyukarkan anak-anak yang pergi balik ke sekolah kerana pakaian dan kasut mereka cepat kotor.

---------------

Pihak berwajib diminta segera baiki jalan raya di Kg Tiga Bundu Apin-Apin

KENINGAU 6th March, 2012: Penduduk Kampung Tiga Bundu Apin-Apin merayu kepada pihak yang berkenaan agar membaiki jalan raya ke kawasan kebun mereka yang kini rosak teruk dan sukar dilalui oleh kenderaan.

Jurucakap penduduk, Matius Bagang berkata, jalan raya yang menjadi keperluan kira-kira 200 penduduk yang kebanyakannya petani sudah sekian lama rosak dan sukar dilalui oleh sebarang kenderaan menyebabkan golongan petani di kawasan itu sukar mengeluarkan hasil pertanian mereka seperti sawit, getah halia.

Katanya, masalah kerosakan jalan raya itu telah dikemukakan kepada pihak yang berkenaan tetapi sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil.

Sebelum ini katanya, penduduk di kampung itu telah membaiki jalan raya itu dengan kos yang dikutip dari penduduk kampung, tetapi kini ia rosak lagi.

Penduduk di kampung itu katanya, rata-rata penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak akan menyokong pembangkang walaupun mereka menghadapi masalah jalan raya.

“Tetapi penduduk berharap kepada Kerajaan agar mengambil tindakan dan mengatasi masalah itu dan sekurang-kurangnya menabur batu kelikir bagi memudahkan penduduk mengeluarkan hasil pertanian mereka” kata Kawos.

Jelasnya, keadaan jalan raya itu berlubang dan terlalu licin dan berlumpur serta sukar dilalui oleh sebarang kenderaan.

Beliau berkata, penduduk tidak mempersalahkan Kerajaan dalam hal ini tetapi hanya merayu agar masalah itu diatasi dengan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan