----------------------------------------------------
Penternak mohon RM250j dana sama seperti NFC
PUCHONG Nov 22, 2011 – Persatuan Penternak Ruminan Negeri Selangor (PPRNS) mendesak kerajaan menyediakan dana sebanyak RM250 juta kepada kira-kira 500 ahli persatuan itu seperti mana yang diberikan kepada Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Pengerusinya, Samad Kassim berkata, kebanyakan ahli adalah penternak lembu tenusu, lembu fidlot, kerbau dan kambing mendakwa sukar mendapatkan kemudahan pinjaman daripada kerajaan atau institusi kewangan untuk memajukan ternakan masing-masing.
Menurutnya, ia berbeza dengan apa yang diberikan kerajaan kepada NFC, sedangkan penternak tidak diberikan kemudahan sama.
“Penternak yang juga ahli PPRNS memerlukan dana untuk memajukan lagi industri dan kita menjamin 30 peratus peningkatan pengeluaran produktiviti industri ternakan termasuk susu segar, daging, susu kerbau sapi, daging kambing dan baja organik selepas tiga tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Samad berkata, dengan kemudahan dana yang disediakan itu, mereka dapat membeli induk lembu, kambing dan kerbau, malah tidak mustahil pembangunan bidang ternakan menjadikan Malaysia antara negara pengeksport untuk produk berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan penternak sudah menceburi bidang ternakan lebih daripada 10 tahun dan mengetahui selok-belok industri yang dijalankan.
“Kita mempersoalkan mengapa kerajaan memberi dana kepada syarikat baru seperti NFC sedangkan ia sepatutnya diberikan kepada penternak yang sudah berpuluh tahun dalam industri ini.
“Persatuan memohon kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi perhatian serius terhadap permintaan ahli bagi menjamin peningkatan industri ternakan di negeri ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan