Selasa, November 22, 2011

JABATAN PELAJARAN SABAH DIMINTA WUJUD PASUKAN TANGANI MASALAH KEROSAKAN SEKOLAH SEGERA

Jabatan Pelajaran Sabah Diminta Wujud Pasukan Tangani Masalah Kerosakan Sekolah

KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Sabah diminta segera mewujudkan satu pasukan petugas untuk mengesan dan menangani masalah penyelenggaran kerosakan di sekolah-sekolah di negeri ini.

Datuk Hamisa Samat (BN-Tanjung Batu) berkata

  • berdasarkan maklum balas dan pengalaman lalu, proses untuk membaik pulih kerosakan di sekolah mengambil masa yang terlalu lama.
  • "Sepatutnya kerja menyelenggara sesuatu kerosakan di sekolah perlu dilakukan pada kadar yang segera memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran adalah proses yang berterusan.
  • "Malangnya terdapat sekolah termasuk di kawasan saya di DUN Tanjung Batu yang terpaksa menunggu sehingga bertahun hanya untuk membaiki kerosakan kecil,"

katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2012 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Hamisa berkata pasukan petugas itu diharap dapat mengurangkan kerenah birokrasi bagi menangani kes penyelenggaraan segera.

Selain itu, beliau merayu kepada Kementerian Kesihatan supaya

  • menyegerakan usaha menaik taraf pusat kesihatan dan hospital daerah memandangkan terdapat pesakit yang terpaksa ke Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
  • "Saya juga mencadangkan agar Kementerian Kesihatan menumpukan kepada pembinaan ruang penginapan atau ruang rehat kepada keluarga pesakit terutama golongan miskin dan kurang bermampuan agar mereka ini lebih selesa menjaga dan menunggu ahli keluarga masing-masing," katanya.

Hamisa turut memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri supaya memberikan imbuhan setimpal kepada atlet dari negeri ini yang berjaya menyumbang pingat kepada negara dalam Sukan SEA ke-26 di Indonesia.

Beliau turut mencadangkan agar kementerian yang berkaitan termasuk syarikat milik kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaaan kepada atlet yang berjaya mengikut kemahiran masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan