Selasa, November 15, 2011

KEPUTUSAN MENGENAI PINJAMAN MUDAH RM4.6 BILLION UNTUK MENYELAMATKAN PROJEK PKFZ ADALAH KEPUTUSAN JEMAAH MENTERI - NAZRI

Nazri Dedah Ada Menteri Tidak Setuju Dengan Projek PKFZ

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Setelah sembilan tahun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Isnin mendedahkan bahawa ramai anggota jemaah menteri yang tidak bersetuju dengan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 2002.

Nazri yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini sebagai saksi ke-20 pendakwaan dalam kes Tun Dr Ling Liong Sik berkata beliau sendiri ada membangkitkan keraguan dan berpandangan projek menelan belanja melebihi RM1 bilion itu berkemungkinan gagal.

Katanya walaupun tidak membuat catitan pada mana-mana dokumen atau minit mesyuarat, beliau masih mengingati bahawa ramai menteri yang tidak bersetuju tetapi akhirnya menyetujuinya kerana bimbang menjadi isu besar.

"Dalam mesyuarat, bila perkara ini (projek PKFZ) berbangkit, ramai kata projek ini berkemungkinan tidak akan berjaya. Pada ketika itu kita tidak mahu masuk campur dalam perkara ini kerana harga tanah itu tinggi. Pada masa itu (2002), RM1 bilion itu besar.

"Ketika itu juga ada perasaan projek itu kemungkinan tidak berjaya, ramai juga rakan-rakan saya yang caution dan setuju perkara ini dilihat (diteliti), ia isu besar.

"Ramai yang tahu tanah itu dijual pada RM25 sekaki persegi (skp), sesiapapun jual akan mendapat untung besar," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Nazri yang memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan berkata ketika 2002, ada antara jemaah menteri merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan projek PKFZ.

Ketika ditanya Wong adakah beliau membangkitkan atau membantah keputusan jemaah menteri pada 6 Nov 2002 untuk membeli tanah di Pulau Indah untuk melaksanakan projek tersebut, Nazri berkata: "Ada bangkit tetapi tidak membantah keputusan untuk membeli."

  • Di awal prosiding Nazri berkata pada pemahamannya kos projek PKFZ adalah sebanyak RM1.088 bilion termasuk faedah.
  • Tambahnya, kabinet bersetuju memberi pinjaman mudah sebanyak RM4.6 bilion kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) pada 2007 bertujuan menyelamatkan projek PKFZ dan mengelak kesan negatif kepada kerajaan.

"Lima tahun sebelum itu (pada 2002 sebelum pnjaman diberi pada 2007), kita (jemaah menteri) tidak mahu supaya wang kerajaan terlibat kerana mereka (LPK) berjanji menggunakan wang dalaman, tetapi pada 2007 apabila kita diberi alasan yang LPK tidak boleh tanggung, keadaan menjadi begitu sulit dan kita tidak boleh biarkan," katanya.

Beliau berkata sekiranya mengetahui projek itu melibatkan wang kerajaan pada 2002, beliau tentunya tidak bersetuju ia dilaksanakan.

  • Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
  • Beliau juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
  • Dr Ling, 68, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov, 2002.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Nazri menegaskan bahawa keputusan mengenai projek PKFZ adalah keputusan jemaah menteri dan bukannya keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu bekas Menteri Kewangan II Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pada 2005, Kementerian Pengangkutan telah memohon bantuan kewangan tetapi tidak diluluskan kerana jumlahnya berbeza daripada kelulusan kabinet.

Nor Mohamed, saksi ke-21 berkata pihaknya berpendapat ia tidak boleh diberikan kerana kabinet telah memutuskan projek PKFZ tidak memerlukan bantuan kewangan kerana ia berdaya maju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok.

11 ulasan:

  1. Kita tunggulah dan lihat Perbicaraan yang seterusnya.

    BalasPadam
  2. Harap hakim akan membuat keputusan yang terbaik dalam kes ini.

    BalasPadam
  3. Banyak kesulitan dalam menangani masalah ini. Biarpun pelbagai bukti yang telah diberikan, namun adakah bukti2 tersebut sahih? Itulah persoalan yang sukar untuk dicari jawapannya.

    BalasPadam
  4. Terlalu ramai individu yang terlibat dan nampaknya penyelesaian hanya akan tercapai jika yang bersalah menyerah diri.

    BalasPadam
  5. buatlah keputusan terbaik bagi memastikan PKFZ selamat.

    BalasPadam
  6. masih belum selesai?? dalam kes ini saya malas mahu ambil tahu jalan ceritanya.. saya cuma mahu tahu pihak yang melakukan kesalahan tidak terlepas dari dikenakan tindakan undang2..

    BalasPadam
  7. nampaknya dalam mana2 projek sekalipun sering saja wujud isu penyelewengan.

    BalasPadam
  8. Pada 20 Mei 2009, kerajaan Malaysia hanya memberi pinjaman mudah kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK). Pinjaman itu bukan menyelamatkan PKFZ . LPK perlu membuat bayaran balik kepada penjual tanah dan juga pemaju dan pembayaran adalah secara berperingkat mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan.

    BalasPadam
  9. tunggu sajalah sehingga kes ini selesai...

    BalasPadam
  10. Nampaknya masalah PKFZ masih belum diselesaikan sepenuhnya.

    BalasPadam
  11. Inilah punca dari kegiatan rasuah dan penyelewengan yang akan menyusahkan pihak lain kemudian hari. Kerugian inilah yang akan memburukan ekonomi negara. Sebaiknya uruskan kewangan dengan baik dan berlaku jujurlah.

    BalasPadam