Selasa, Oktober 04, 2011

SEMUA 363 BEKAS GSTT DI SABAH AKAN DILANTIK SEMULA ATAU DIBERI PELUANG MENGIKUTI KURSUS BAGI MEMBOLEHKAN DISERAP SEBAGAI GURU TETAP SECARA BERPERINGKAT - PUAD

363 GSTT Sabah Bakal Diserap Ke Jawatan Tetap Secara Berperingkat - Mohd Puad

KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Semua 363 bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah, yang kini menganggur, akan dilantik semula atau diberi peluang mengikuti kursus di institusi perguruan bagi membolehkan mereka diserap sebagai guru tetap secara berperingkat.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pengambilan secara berperingkat perlu dilakukan kerana jawatan guru tetap tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita sedang berbincang dengan JPA berhubung perkara ini. Kita serius untuk membantu GSTT ini, dan sebab itu kita tidak adakan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tahun ini.

"Harus diingat, kita juga perlu mengambil kira penempatan graduan (sama ada dari Institut Pendidikan Guru atau universiti) yang sudah atau akan menamatkan pengajian mereka November ini," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Pulau Gaya dekat sini hari ini.

Mohd Puad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun minggu lepas berhubung perkara itu.

Masidi dipetik sebagai berkata bahawa beliau yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan reaksi positif yang diterima sebelum ini daripada pihak berwajib termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Anggota Parlimen Kota Marudu Datuk Dr Maximus Ongkili turut membangkitkan perkara yang sama.

Ongkili dipetik sebagai berkata bahawa daripada 557 GSTT di Sabah tahun lepas, hanya 164 dilantik semula tahun ini dan 30 orang sahaja berjaya mendapat pekerjaan di tempat lain manakala yang lain masih menganggur. Mereka adalah antara 3,735 GSTT di seluruh negara yang tidak dilantik semula.

Mengenai cadangan beberapa pemimpin negeri agar Jabatan Pelajaran Sabah diberi kuasa menentukan atau meneliti proses pengambilan guru untuk mengikuti latihan perguruan bagi negeri ini, Mohd Puad berkata: "Kita ada standard tertentu yang perlu kita patuhi".

-----

Mengenai kelewatan pembinaan SMK Nabalu di Kiulu, Mohd Puad berkata pihaknya belum mendapatkan kebenaran dari Jabatan Tanah dan Ukur negeri untuk memasuki kawasan tapak pembinaan yang dikenalpasti.

Beliau berkata hasil Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek itu juga belum diperoleh.

"Saya difahamkan pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar Negeri melawat kawasan tapak projek minggu lepas dan kami harap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

14 ulasan:

  1. Tindakan yang bagus, ini akan memastikan GSTT yang tidak layak ini akan mendapat latihan yang sewajarnya supaya boleh menjadi guru yang lebih berkualiti.

    BalasPadam
  2. Harap GSTT yang diberhentikan sebelum ini akan dilantik semula untuk memenuhi kekosongan pengajar di sekolah kita.

    BalasPadam
  3. Berita baik kepada GSTT. Mereka yang berpeluang menjadi guru harus menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi.

    BalasPadam
  4. Pemimpin Sabah kena konsisten untuk memohon apa-apa yang baik untuk rakyat Sabah.

    BalasPadam
  5. bgslah,nasib GSTT dpt jg dibela.

    BalasPadam
  6. dgn ini diharap masalah kekurangan guru dpt jg diatasi

    BalasPadam
  7. memang wajar jika Jabatan Pelajaran Sabah diberi kuasa menentu dan meneliti proses pengambilan guru. tidaklah 363 bekas GSTT ni tertunggu2 dalam tempoh yang lama.

    BalasPadam
  8. bagaimana pula dengan bekas GSTT di SM? pasti tidak mengalami masalah seperti ni.

    BalasPadam
  9. ini sesuatu yang baik dan menggembirakan GSTT yang terlibat.

    BalasPadam
  10. harap semuanya akan berjalan lancar seperti yang diinginkan..

    BalasPadam
  11. Baguslah. Ada juga pembela nasib GSTT.

    BalasPadam
  12. pastikan masalah ini selesai sepenuhnya dan tidak ada lagi rungutan selepas ini samada dikalangan gstt itu sendiri mahupun pihak2 lain yang perihatin dengan masalah ini.

    BalasPadam
  13. Rasanya masih banyak lagi peluang pekerjaan yang lain jika bekas GSTT ini mengganggur. Jangan hanya menanti tanpa berbuat apa-apa.

    BalasPadam
  14. GSTT memang perlu diberikan peluang. Tapi pastikan utamakan kepada mereka yang baru tamat dari lepasan pendidikan di Universiti. Kerana mereka memang dalam bidang tersebut. Jika GSTT diutamakan bagaimana dengan mereka yang berkelulusan pendidikan nanti.

    BalasPadam