5 murid Tahun Enam ditegah ambil UPSR
LIMA murid Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Sira, (dari kiri) Mohd Zulidham, Mohd Fazli, Mohd Hakim, Mohd Zulhilmi dan Mohd Zulfikar sedih selepas mereka dilarang menduduki UPSR baru baru ini.
Dilarang ke sekolah pada 13 hingga 15 September kerana dianggap bodoh
BALING 2011/09/29: Lima murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Telok Sira, dekat sini, mengalami nasib sama seperti yang berlaku ke atas tiga murid sebuah sekolah di Sarawak baru-baru ini apabila dilarang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pertengahan bulan ini.
Mereka mendakwa dilarang ke sekolah dan mengambil peperiksaan itu pada 13 hingga 15 September lalu kerana disifatkan lemah dalam pelajaran serta boleh menjejaskan prestasi sekolah jika menduduki peperiksaan berkenaan.
Perkara itu terbongkar apabila ibu bapa murid terbabit tampil mendedahkan perkara itu semalam kepada media dan kesal dengan sikap pengurusan sekolah menganiaya anak mereka.
Lima murid terbabit ialah Mohd Fazli Md Isa, Mohd Zulfikar Mohd Fauzi, Mohd Zulhilmi Abd Mizan, Mohd Hakim Hasan dan Mohd Zulidham Yusof yang semuanya berusia 12 tahun.
Bapa Mohd Fazli, Md Isa Che Lah, 43, berkata dia hanya mengetahui perkara itu apabila diberitahu anaknya, seminggu selepas UPSR berakhir.
Katanya, Mohd Fazli beritahu seorang guru sekolah itu memaklumkan kepada lima pelajar terbabit supaya tidak datang mengambil UPSR kerana mereka dikatakan `bodoh' dan lemah dalam pelajaran.
“Saya kesal dengan tindakan guru terbabit yang menghalang anak saya menduduki peperiksaan, sedangkan saya bertungkus-lumus menghantarnya ke sekolah sejak Tahun Satu lagi.
“Anak saya turut mengalami tekanan perasaan dan sering murung apabila pihak sekolah terbabit tidak membenarkan dia mengambil peperiksaan itu,” katanya di sini sambil mendakwa beliau tidak tahu apa sepatutnya dilakukan apabila dimaklumkan perkara itu oleh anaknya sehinggalah mengambil keputusan untuk melaporkan kepada media bersama ibu bapa murid lain yang terbabit, semalam.
Seorang lagi waris, Raziah Yahya, 50, berkata beliau dikunjungi seorang guru sekolah berkenaan dan memaklumkan anaknya, Mohd Zulhilmi tidak perlu ke sekolah ketika UPSR itu berlangsung.
“Guru terbabit mendakwa jika anak saya mengambil peperiksaan itu, dia akan mendapat keputusan `E' sehingga menjejaskan peratus kelulusan sekolah.
“Dia juga mendakwa anak saya bodoh tidak boleh membaca, sedangkan Mohd Zulhilmi hanya lembam tetapi boleh membaca.
“Saya kasihan melihat sikapnya yang sering termenung dan mengasingkan diri sejak beberapa hari lalu, mungkin kerana malu dengan rakannya yang lain,” katanya.
Norziah Wateh, 42, ibu kepada Mohd Zulfikar pula berkata, anaknya itu menangis ketika pulang ke rumah selepas diarahkan guru supaya tidak datang ke sekolah mengambil peperiksaan itu.
“Dia amat sedih kerana cikgu mengatakan dia bodoh, selain diejek rakan sekelas,” katanya.
Mereka bagaimanapun belum membuat laporan polis.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Mansor Lat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan itu dengan merujuknya kepada guru besar sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).
“Saya masih menunggu laporan lengkap mengenai perkara itu dan akan menyiasat dakwaan itu dengan telus,” katanya.
Pada 20 September lalu, akhbar melaporkan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor di Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR kerana mereka dianggap lemah dan dibimbangi boleh menjejas prestasi keseluruhan sekolah itu.
-----
sekolah tak ada hak untuk menghalang murid2 dari menduduki peperiksaan.
BalasPadammurid yang lemah seharusnya diberikan lebih perhatian untuk dibimbing dan bukannya dipinggirkan.
BalasPadamkesian juga murid2 ni tidak dapat menduduki peperiksaan UPSR. tapi saya pasti mereka akan diberi peluang untuk mengambil ujian tersebut semula seperti tiga orang pelajar di Bintagor, Sarawak.
BalasPadamharap siasatan akan dilakukan dan tindakan yang sewajarnya akan diambil..
BalasPadamjangan pula lepas ni ada lagi kes yang serupa dilaporkan.
BalasPadamSekolah-sekolah ini memang tidak bertanggungjawab langsung.
BalasPadamJika ada pelajar lain yang dihalang mengambil peperiksaan, harap ibu-bapa akan tampil membongkarkan sekolah yang sanggup berbuat demikian semata-matanya untuk mendapatkan pengiktirafan.
BalasPadamKementerian pendidikan patut mengawal dan memantau kes seperti ini dengan serius. Sekolah yang berbuat demikian patut dikenakan hukuman. Tukarkan pengarah ataupun pengetua sekolah seperti ini.
BalasPadamtindakan tidak profesional ini boleh membuatkan pelajar2 yang disingkir hilang semangat atau minat untuk meneruskan pelajaran. adakah itu peranan sebuah sekolah dan guru2 di Malaysia??
BalasPadamsaya harap kementerian pendidikan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah ini...
Mereka ini bukan bodoh atau tidak pandai. Ini semua bergantung dari guru itu sendiri mendidik mereka. Kalau mereka bodoh atau tidak pandai maka itu semua dari tindakkan guru yang kurang pengetahuan untuk menangani kes seperti mereka ini. Bukan salah mereka tapi salah pendidik itu sendiri.
BalasPadam