Sabtu, September 03, 2011

JURUKAMERA BERNAMA TV MAUT AKIBAT TERKENA PELURU SESAT DI SOMALIA

Jurukamera Bernama TV Maut Akibat Terkena Peluru Sesat Di Somalia

image

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, Jumaat.

Wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro Jumaat malam.

Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat,"

katanya.

Sementara itu, wartawan Bernama TV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat itu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya.

Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan pada Sabtu.

Beliau berkata ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi pada Sabtu.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Sementara itu, ibunya Naemah Abdul Majid, 63, berkata dua hari sebelum Allahyarham berlepas, keluarganya mengadakan kenduri doa selamat.

Allahyarham juga sempat membeli kasut sempena Hari Raya Aidilfitri untuk dua orang anaknya.

"Anak makcik tu biasa sahaja, dia pergi pun tiada apa-apa perubahan, dua hari sebelum pergi kami buat kenduri dan adik-beradiknya sempat berkumpul semua menghantar beliau.

"Tapi makcik redha dengan pemergian beliau, harap semua doakan rohnya dicucuri rahmat oleh Allah. Makcik rasa redha walaupun makcik sedih, makcik tahu Allah lebih sayangkan dia," katanya.

Naemah berkata Allahyarham turut sempat memberikannya wang untuk membayar sewa rumah dan juga wang untuk beliau dan suaminya sebelum berlepas.

"Dia tinggalkan duit kat makcik dan bapanya, cuma masa makcik menghantarnya arwah meminta makcik tidak keluar dari kereta tetapi makcik nak juga keluar untuk melihat beliau berlepas ke Somalia," katanya.

Ahli keluarga Allahyarham yang berkumpul di rumah keluarganya di sini turut mengadakan bacaan Yassin.

Sementara itu, jiran Allahyarham, G. Marimuthu, 65, yang turut berada di rumah keluarga Allahyarham sejak pukul 11 malam tadi, berkata beliau mengenali Allahyarham sejak lebih 20 tahun lepas semasa mereka menetap di taman itu pada 1989.

Marimuthu, seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata Allahyarham amat peramah dan sering menegur beliau dan isteri.

"Sebelum berlepas ke Somalia pada 28 Ogos lepas, Faizul sempat bersalaman dengan isteri saya G. Saraswathi, bertanyakan khabar dan memaklumkan pemergiannya ke Somalia," katanya.

7 ulasan:

  1. Seribu Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam misi bantuan ke Somalia.

    BalasPadam
  2. semoga keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

    BalasPadam
  3. Takziah kepada keluarga dan semoga roh Noramfaizul tergolong di dalam orang2 yang beriman.

    BalasPadam
  4. Takziah kepada keluarga mangsa.

    BalasPadam
  5. harap2 keluarga mangsa kuat dan tabah. Takziah.

    BalasPadam
  6. takziah diucapkan kepada keluarga Noramfaizul Mohd Nor..semoga tabah menghadapi semua ini.

    BalasPadam
  7. Harap para keluarga mangsa bersabar dengan dugaan yang menimpa.

    BalasPadam