Selasa, September 13, 2011

IKAN TURONGOU BOLEH DITERNAK SECARA KOMERSIAL - ONGKILI

Ikan Turongou Boleh Diternak Secara Komersial, Kata Ongkili

PENAMPANG, 12 Sept (Bernama) -- Rancangan sedang diatur untuk menjalankan kajian tentang pembiakan ikan Turongou untuk menghasilkan baka dikenali sebagai Turongou Tongkat Ali dan Kacip Fatimah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata kini kementerian itu membiayai projek penetasan dan pengeluaran ikan berkenaan di Penampang.

Projek kendalian Innovasi Sedia Sdn Bhd itu juga bertujuan melindungi spesies ikan yang kaya dengan khasiat pemakanan dan digemari ramai itu daripada kepupusan.

Turongou, yang lazimnya mendiami anak sungai berair jernih dan sawah, kini hampir pupus akibat pencemaran dan penggunaan racun makhluk perosak.

"Turongou adalah sumber protin dan pada pendapat saya merupakan ikan yang istimewa daripada segi rasa serta kandungan khasiat pemakanan. Projek penyelidikan ini memerlukan pengetahuan teknikal termaju untuk menghasilkan induk Turongou dalam jumlah yang besar," kata Ongkili ketika melawat tapak projek itu di sini, Isnin.

Beliau berkata kajian itu dijalankan dalam beberapa fasa termasuk fasa bagi penghasilan Turongou organik yang diberi makan tumbuhan herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, halia dan kayu manis yang pasti mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Ini akan membolehkan ikan berkenaan diternak secara komersial untuk menjana pendapatan lumayan, katanya.

Ongkili berkata projek itu, yang setakat ini menerima pembiayaan RM300,000, berjalan lancar dan hasil kajian fasa pertamanya akan diketahui pada hujung tahun ini.

"Sekiranya berjaya, petani boleh memohon mendapatkan lesen untuk menggunakan teknologi berkenaan di bawah penyelarasan Innovasi Sedia Sdn Bhd," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan