Jumaat, Julai 22, 2011

RAKYAT MALAYSIA TIDAK RASIS TAPI DIMANIPULASI PIHAK BERKEPENTINGAN

Ku Li: Melayu tidak rasis tapi dimanipulasi pihak berkepentingan

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan orang Melayu bukan rasis tetapi membawa sikap perkauman kerana telah dimanipulasikan oleh pihak yang berkepentingan.

Dalam ucapan perasmian Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) yang diketuai beliau, Tengku Razaleigh(gambar) berkata orang Melayu yang bersifat rasis adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan “kurang Islamik.”

“Saya tahu bahawa orang Melayu termasuk kaum-kaum lain di negara ini tidak rasis dan tidak pernah rasis tetapi bersikap perkauman kerana dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan supaya berkelakuan, berfikir dan bertindak sebagai ‘komunalis’ yakni kaum yang bersifat perkauman.

“Bagi orang Melayu sikap seperti itu sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan apabila orang Melayu bersifat kurang Islamik mereka cenderung ke arah perkauman atau rasis, berbalik kepada zaman jahiliah sebelum Nabi Muhammad SAW (yang) berdakwah menentang kepercayaan dan fikiran jahiliah,” katanya di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

image Amanah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibarisi beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

Sementara naib presiden pula dibarisi Wan Saiful Wan Jan, Dr Patau Rubis, Ong Hock Siew, Datuk Mohd Azmi Razak, Ragunath Kesavan, Tan Sri Simon Sipaun dan Mohd Lukhman Ghani.

Amanah yang dilancarkan hari ini terbuka kepada seluruh rakyat negara ini untuk menyertainya dengan bayaran RM10 (untuk ahli biasa) dan RM100 (untuk ahli seumur hidup).

Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” berkata Amanah bukan sebuah pertubuhan pendesak atau mahu bermain politik.

“Kita berkumpul sebab kebanyakan daripada kita secara tulus berasa amat prihatin dan risau, gundah dan sedih melihat apa yang berlaku di negara kita yang tercinta.

“Warga Malaysia yang berfikiran benar dan saksama jangan berpeluk tubuh, menyerah dan menerima secara pasif dan berlembut hati terhadap salah laku buruk dan keadaan yang dasyat seperti rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku.

“Kita mesti bertindak segera sebelum keadaan ini sampai ke tahap yang tidak dapat dipulihkan lagi sehingga akhirnya seluruh asas peraturan hidup sosial, moral, budaya, undang-undang dan perlembagaan yang menjadi wadah ketahanan negara kita selama ini akan hancur musnah,” katanya dalam ucapan yang bertajuk “Suara Menuntut Kebenaran, Keadilan dan Rasa Timbang Rasa.”

11 ulasan:

  1. Perkasa dan Ibrahim Ali paling ketara kurang Islamik.

    BalasPadam
  2. Perangai buruk seseorang bukan disebabkan agama, bangsa atau pun adat2 tradisi yang diwarisi melainkan disebabkan diri seseorang tu.

    BalasPadam
  3. Malaysia adalah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama. Kita perlulah belajar cara hidup bersama secara harmoni.

    BalasPadam
  4. Tolak sikap rasis. Tolak Perkasa dan Ibrahim Ali.

    BalasPadam
  5. isu rasis ini timbul hnya kerana sikap beberapa pihak yang tidak hormati orang lain. tapi hakikatnya, rakyat Malaysia majoritinya saling menghormati.

    BalasPadam
  6. buang sikap rasis itu kerana ia hanya akan menghalang perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

    BalasPadam
  7. kita semua seharusnya saling menghormati dan mengekalkan perpaduan. sifat yang tidak baik seperti sifat rasis seharusnya dijauhi.

    BalasPadam
  8. Betul perkara ini berlaku apabila berlaku untuk kepentingan diri mereka sendiri.

    BalasPadam
  9. ya, tidak ada masalah perkauman jika setiap kaum saling hormat-menghormati

    BalasPadam
  10. saya bersetuju dengan tajuk di atas!

    BalasPadam
  11. generasi muda hari ini terutamanya yang masih diperingkat sekolah, sudahpun didedahkan dengan sifat2 perkauman. persekitaran seperti ini terlalu bahaya bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah untuk negara. sebab itu kerajaan perlu bertindak tegas terhadap mana2 parti politik atau pertubuhan yang sering menggunakan pendekatan rasis untuk mendapatkan sokongan..

    BalasPadam