Selasa, Jun 08, 2010

PARLIMEN SEBULAT SUARA LULUS USUL KUTUK KEKEJAMAN ISRAEL

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31 Mei lepas.

Usul yang dibentang pada 11.30 pagi tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan setelah perbahasan lebih lima jam oleh wakil kerajaan, pembangkang dan bebas.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee ketika majoriti Anggota Parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk Anggota Parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Seramai 28 anggota, masing-masing 12 daripada BN dan 13 daripada pakatan pembangkang serta dua anggota Bebas membahaskan usul berkenaan.

Ketika sesi perbahasan setiap anggota Parlimen dibenarkan berbahas selama 10 minit kecuali peruntukan 15 minit diberikan kepada Ketua Pembangkang.

Pengundian dibuat secara mendapatkan suara yang menyatakan "setuju" atau "tidak" dan apabila hanya suara yang bersetuju sahaja kedengaran, Kiandee mengumumkan usul itu dilulus sebulat suara.

Kesemua anggota parlimen yang berada di dalam dewan sama ada yang mewakili kerajaan, pembangkang dan bebas melaungkan perkataan "setuju" sebagai tanda permuafakatan telah dicapai dalam usaha Malaysia menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan ke Gaza dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel terhadap konvoi bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Laungan setuju yang bergemuruh ketika menyatakan sokongan itu membuktikan kerajaan dan pembangkang bersatu hati dalam menangani isu keganasan dan keadilan global.

Usul itu sebagai menyatakan bantahan rakyat Malaysia terhadap tindakan anggota tentera Israel mengepung dan menyerang Flotilla bantuan kemanusiaan ke Gaza seterusnya menahan sukarelawan kapal tersebut termasuk 12 warganegara Malaysia.

----

Ken O’Keefe: ‘We, the defenders of the Mavi Marmara, are the modern example of Gandhi’s essence’

Kenneth O'Keefe

Tiada ulasan:

Catat Ulasan