Kerajaan Tidak Akan Sekat Maklumat Di Internet - Rais
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerajaan tidak akan menyekat pengaliran maklumat di internet tetapi berharap agama dan budaya akan dijadikan panduan dalam memanfaatkan kebaikan penggunaannya.
Beliau berkata kerajaan juga boleh menguatkuasakan undang-undang di tahap maksimum sebagai usaha menyekat unsur-unsur negatif yang disebarkan menerusi media baru terutama internet.
Katanya kerajaan tidak akan mengambil tindakan seperti China yang bercadang mewujudkan "Green Dam" sebagai langkah menyekat kemasukan unsur-unsur negatif dalam internet.
"Kita tidak ada buat sedemikian. Tinggal lagi kita pohon supaya agama kita, budaya kita digunakan sepenuhnya untuk menentukan kebaikan kita. Di samping itu, saya akui bahawa penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digerakkan ke paras maksimum,"
"Seperti yang saya katakan tadi kita sedang membina satu tamadun, budaya kita. Kita sini di tanah air kita, Singapura dengan cara mereka, Thailand dengan cara mereka.
"Jadi kita sekarang sedang didatangi dengan Facebook, Twitter, kita tidak marah, tapi di mana sifat-sifat tempatan kita untuk kita masukkan dalam Facebook... bagaimana pula pihak-pihak di Eropah dan Amerika Syarikat menyerang kita dengan cara halus mereka, apakah kita tidak terfikir soal itu.
"Bagaimana kita nak kawal anak-anak kita yang menghadap Facebook lebih lama daripada mengulangkaji pelajaran, mengaji Al-Quran. Jadi saya hanya menyatakan, oleh kerana dunia siber internet ini bukan kita yang cipta, kita perlu berhati-hati, ambil yang baik dan buang yang tidak baik," katanya.
Rais berkata setiap individu perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk berhati-hati dalam penulisan di internet dan ketika bertutur agar ia tidak mengugat keselamatan negara.
Beliau berkata gagasan yang diwujudkan menerusi konsep 1Malaysia ialah untuk mewujudkan satu tamadun sejagat dan murni yang membina.
"Kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998... Seksyen 233 (memperuntukkan supaya) seseorang itu perlu ada rasa tanggungjawab dalam penulisan blog, cara bercakap dalam memastikan keselamatan negara tidak terjejas.
"Akta itu telah wujud sejak 1998, saya tidak dapat lari dari undang-undang negara. 113 kes telah dikemukakan dan Jabatan Peguam Negara sedang ambil tindakan...12 kes sedang disusun dan tindakan akan diambil.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah bersetuju agar seorang pegawai khas dari Jabatan Peguam Negara meneliti sama ada undang-undang sedia ada perlu diperbaiki.
Mengulas langkah beberapa pemimpin yang menggunakan Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat, Rais berkata : "Hal yang sedemikian seharusnya kita gunakan untuk kebaikan kepada negara kita. Tapi ada orang yang menulis terus yang mencaci atau mengkritik tapi kita kena sabar, ini adalah sebahagian daripada dunia internet yang kian lama kian rancak dengan kontroversi yang wujud."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan