Bekas peguam Petronas kecewa royalti Kelantan dinafi
KOTA BHARU, 28 Feb: Bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor (gambar bawah) melahirkan rasa dukacita apabila ada pemimpin menafikan hak Kelantan ke atas royalti minyak.
Beliau berkata, pemimpin terbabit dianggap menafsir undang-undang tanpa melihat kepada maksud dan tafsiran sebenar Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).
Katanya, akta tersebut menyebut dengan jelas perkataan onshore (daratan sehingga tiga batu nautika) dan offshore (perairan negeri).
“Saya hairan mengapa mereka termasuk juga yang bergelar profesor di universiti tidak merujuk kepada perkataan tersebut.
“Saya cukup sedih dengan tindak tanduk mereka yang cuba mengelirukan rakyat.
“Sedangkan pada 1975 Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir memberi hak kepada Petronas mencarigali minyak yang di kawasan onshore dan offshore,” katanya pada taklimat mengenai tuntutan royalti petroleum kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri di sini, petang tadi.
Hadir sama bekas peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam kes tuntutan royalti minyak Terengganu, Thommy Thomas.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntuan Royalti Minyak Kelantan, Datuk Husam Musa, dua Adun BN iaitu Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri) serta wakil-wakil rakyat lain.
Turut hadir pegawai-pegawai kerajaan negeri, pusat serta wartawan tempatan.
Nik Syaghir berkata, kesanggupannya menjelaskan perkara sebenar di sebalik tuntutan royalti minyak Kelantan semata-mata bagi menegak kebenaran setelah ada pihak yang mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.
Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang Perbendaharaan Negara dan Jabatan Peguam Negara memberitahu sebelum ada PDA kerajaan Sabah dan Sarawak sudah menandatangani perjanjian dengan Shell.
Katanya, ketika itu Shell dikehendaki membayar royalti kepada Sabah dan Sarawak sebanyak 8 hingga 12 peratus mengikut jarak lokasi carigali dengan pantai.
“Mengambil kira perkara tersebut saya ketika itu dipertanggungjawab merangka draf mengenai PDA telah mengambil jalan tengah dengan memutuskan Petronas perlu membayar royalti 10 peratus iaitu 5 peratus kepada pusat dan 5 peratus lagi kepada negeri.
“Lagi pun Tun Razak tidak mahu ada keistimewaan tertentu dalam PDA. Kesemua negeri mempunyai hak yang sama di bawah PDA dan jelas tidak ada keistimewaan seperti digambarkan pihak tertentu,” ujarnya.
Abdul Aziz (gambar kiri) juga menegaskan pembayaran royalti kepada negeri tidak menggunakan kaedah 3 batu nautika seperti yang diuar-uarkan pemimpin kerajaan pusat sekarang.
Katanya, pembayaran yang dibuat berdasar kepada istilah onshore dan offshore serta tidak berbangkit sama sekali kaedah 3 batu nautika.
“Kalau ada pendapat menyebut royalti hanya dibayar apabila carigali dijalankan kurang 3 batu nautika, itu pendapat yang salah.
“Kerajaan pusat, negeri, Sabah dan Sarawak semua mendapat 5 peratus. Tidak benar sama sekali ada perbezaan royalti di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri di semenanjung dalam soal ini,” ujarnya.
Thomas pula menjelaskan biar pun isu royalti diketengahkan ke mahkamah bagi mendapat keadilan, kerajaan negeri atau mana-mana pihak masih boleh untuk memperkatakan isu berkenaan.
Katanya, tidak ada subjudis kepada mahkamah dalam isu berkenaan biar pun hakim belum membuat apa-apa keputusan.
“Ini sama seperti berlaku di Perak baru-baru ini. Isu berkenaan diperkatakan secara meluas dalam ceramah, forum dan seminar,” ujarnya.
Sementara itu Husam berkata, Kelantan akan menggunakan rundingan bagi menuntut royalti dan tindakan mahkamah merupakan jalan terakhir.
Bagaimanapun katanya, kerajaan akan mendapat pandangan dari semua Adun terlebih dahulu sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
Ditanya kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang tetap mahu menghantar surat jemputan pelantikan wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa berkenaan kata Husam surat tersebut tidak ada dilayan.
“Kita berpendapat jawatankuasa itu haram dan tiada dalam undang-undang, bahkan bayaran 5 peratus yang mereka ambil itu juga haram,” katanya selepas mesyuarat Exco sebelum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan