Tidak Ada Masalah Kekurangan Doktor - MMA
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama)- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pada Ahad, berkata tidak wujud masalah kekurangan doktor di negara ini tetapi lebih kepada isu penempatan doktor-doktor berkenaan.
Presidennya Dr David K.L. Quek berkata ini kerana kebanyakan doktor keberatan untuk ditempatkan di kawasan pedalaman sekalipun Kementerian Kesihatan telah menawarkan insentif yang lebih menarik.
Masalah itu boleh ditangani jika kerajaan memperkenalkan polisi penempatan yang lebih tersusun dan adil, katanya menerusi kolum Presiden yang dimuatkan dalam buletin terkini MMA.
Beliau juga yakin jika Klinik 1Malaysia dipertingkatkan ramai doktor hospital kerajaan sanggup bertugas di klinik itu secara bergilir-gilir, atau menjadikannya tempat mereka mendalami latihan.
Langkah itu juga katanya selari dengan pandangan MMA bahawa Klinik 1Malaysia wajar dikendali oleh doktor berdaftar sepertimana yang diperuntuk Akta Perubatan dan bukan sekadar pembantu perubatan.
Walaupun mengalu-alukan langkah kerajaan memperkenalkan klinik tersebut bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan asas bagi golongan miskin bandar, MMA katanya berpandangan perkhidmatan yang disediakan harus dipertingkatkan.
---
Tiada ulasan:
Catat Ulasan