Isnin, Februari 22, 2010

PEMUDA UMNO PULAU PINANG MENOLAK PELAWAAN UNTUK DEBAT TERBUKA ANJURAN PEMUDA PAKATAN RAKYAT

Pemuda Umno Pulau Pinang Hanya Mahu Berdebat Dengan Ketua Menteri

BUTTERWORTH, 22 Feb (Bernama) -- Pemuda Umno Pulau Pinang hari Isnin menolak pelawaan untuk menyertai debat terbuka anjuran Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang pada 7 Mac ini.

Ketuanya Norman Zahalan berkata Pemuda Umno negeri hanya akan berdebat dengan Lim Guan Eng kerana hanya Ketua Menteri Pulau Pinang itu dapat membuat keputusan dan menjawab segala persoalan yang bakal dikemukakan.

"Kita mahu tahu apa perancangan Lim untuk orang Melayu Pulau Pinang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norman berkata pihaknya menerima surat jemputan mengenai debat itu pagi ini.

Dalam satu sidang akhbar pagi ini, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri Yeoh Soon Hin mempelawa Pemuda Umno Pulau Pinang, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyertai debat yang akan diadakan di Tapak Ekspo Seberang Jaya.

Yeoh berkata debat yang bertemakan 'Isu Melayu Pulau Pinang: Antara Provokasi dan Kebenaran ' itu bertujuan memberi penjelasan mengenai pelbagai isu berkaitan orang Melayu dan umat Islam di negeri tersebut.

Pakatan pembangkang akan disertai wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK), DAP dan wakil Pemuda PAS, manakala moderatornya adalah individu yang berkecuali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan