Kegiatan Palsukan Mykad, Lesen Memandu Di Tawau Tumpas
TAWAU, 19 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerak Marin (PGM) Tawau melumpuhkan satu kegiatan memalsukan MyKad dan lesen memandu di sini apabila berjaya menahan seorang lelaki rakyat Indonesia di dalam sebuah rumah di Kilometer 8, Jalan Apas awal pagi Jumaat.
Pemangku Pegawai Pemerintah (Operasi) PGM Tawau, ASP Mohamad Ismail berkata lelaki berumur 40 tahun itu ditahan selepas rumah yang didiaminya diserbu tujuh anggota PGM yang diketuai Cif Inspektor Safri Anuar kira-kira pukul 12.30 tengah malam hasil maklumat orang ramai.
Hasil pemeriksaan di rumah itu, PGM menemui sembilan keping lesen memandu Malaysia milik orang lain, 56 keping salinan lesen memandu, enam keping plastik lesen memandu dan 55 keping gambar berukuran kad pengenalan di dalam satu beg tangan merah jambu dalam bakul pakaian.
Turut ditemui ialah empat keping MyKad milik orang lain, sekeping kad pengenalan lama, dua keping MyKad tanpa gambar dan tanpa sebarang catatan diri, tiga keping plastik lapisan bahagian hadapan MyKad dan dua keping plastik pelapis tulisan ukuran MyKad.
Turut ditemui adalah beberapa peralatan yang disimpan di dalam sebuah bilik dipercayai digunakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian MyKad dan lesen memandu.
Mohamad berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan akan menanggalkan segala identiti pemilik asal MyKad dan lesen memandu seperti gambar, nama serta alamat, dan kemudiannya memasukkan gambar dan maklumat lain ke dalam MyKad dan lesen memandu berkenaan.
"Lelaki itu akan melihat bentuk huruf yang ada di dalam MyKad atau lesen memandu asal menggunakan mikroskop bagi memastikan ia menyamai huruf dalam dokumen yang telah dipalsukan," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Katanya siasatan awal juga mendapati semua dokumen yang cuba dipalsukan itu ialah dokumen asal dengan alamat pemilik asal dokumen adalah di sekitar Penampang, Kunak dan Tawau.
Mohamad berkata lelaki itu dipercayai melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dokumen sejak sebulan lalu dan mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM200 hingga RM300 seorang.
Katanya lelaki rakyat Indonesia itu memiliki pasport Indonesia yang sah dan pernah ditangkap sembilan kali kerana pelbagai kesalahan jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan