Jumaat, Februari 19, 2010

30 PERATUS BANDUAN DALAM PENJARA MERUPAKAN WARGA ASING

KDN Kaji Laksana Program Kurang Kesesakan Di Penjara

MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri sedang mengkaji usaha melaksanakan program-program khusus bagi mengurangkan kesesakan di penjara, memandangkan ketika ini terdapat 36,040 banduan yang ditempatkan di 31 penjara di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antaranya termasuk mengkaji kemungkinan menghantar 10,800 warganegara asing yang mewakili kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan penghuni penjara ketika ini, kembali ke negara asal mereka.

"Kami juga sedang mengkaji cadangan supaya banduan-banduan yang dikategori sebagai pesalah kes ringan seperti mencuri atau kes ragut tidak dipenjarakan, sebaliknya dikenakan program khidmat masyarakat atau tunas bakti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Penjara Sungai Udang di sini pada hari Khamis.

Hishammuddin berkata cadangan untuk menghantar banduan ke negara asal akan melibatkan rundingan dua hala dengan kerajaan negara-negara tersebut yang kini sedang berjalan.

Menurutnya terdapat 18,784 banduan yang sedang menjalani hukuman bersabit dengan kesalahan yang berkaitan kes-kes jenayah berat seperti bunuh dan rogol ketika ini, manakala kes ringan bagi kesalahan seperti ragut dan curi pula membabitkan 17,256 banduan.

Beliau juga berkata pihak kementerian merancang untuk membina sebuah penjara kesihatan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh nanti, yang akan menempatkan banduan yang yang mengidap HIV/AIDS, tibi, hepatitis dan masalah mental.

"Ketika ini banduan berkenaan yang kini berjumlah 1,607 orang, diasingkan di blok-blok khusus," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan