Selasa, Februari 16, 2010

"MATLAMAT KITA ADALAH UNTUK MEWUJUDKAN PERSEKITARAN DI MANA WARGA ASING YANG BERADA DI NEGARA INI TANPA STATUS YANG SAH AKAN BERASA TAKUT DAN TERANCAM SEHINGGA BERSEDIA UNTUK MENINGGALKAN NEGARA INI PADA KADAR SEGERA,"

KDN Bina Mekanisme Pantau Warga Asing Sepanjang Berada Di Negara Ini

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Satu mekanisme dan sistem bagi memantau status setiap warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula akan dibangunkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kekerapan penguatkuasaan perlu dimantapkan dengan mekanisme pemantauan yang komprehensif, yang hanya boleh diwujudkan sekiranya mempunyai sistem maklumat yang bersepadu dan berintegrasi.

"Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana.

"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Hishammuddin, yang meninjau sendiri kebanjiran warga asing di ibu negara pada cuti umum sempena Tahun Baru Cina, berkata cadangan mewujudkan mekanisme tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI), yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 22 Feb ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan