Remaja serang guru dihukum sebat, penjara
RIYADH: Seorang remaja perempuan dihukum sebat 90 kali dan dipenjara dua bulan sebagai hukuman menyerang guru, kata seorang hakim, semalam.
Pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, remaja itu bertindak menyerang guru selepas didapati membawa telefon berkamera ke sekolah.
Nama remaja itu belum diketahui. Dia boleh mengelak hukuman jika diberi pengampunan oleh Raja Abdullah, kata hakim itu, Riyadh al-Meihdib.
“Keputusan itu dibaca di mahkamah dan dia tidak membantah,” kata Riyadh kepada akhbar di sini. Katanya, guru itu tidak mahu memaafkan pelajar terbabit.
Undang-undang tempatan melarang telefon berkamera dibawa ke sekolah. Akhbar Al-Watan memetik pengetua sekolah sebagai berkata, remaja itu berusia 20 tahun.
Tetapi, Amnesty yang berpejabat di London mendakwa usia sebenar remaja berkenaan ialah 13 tahun dan menggesa Abdullah segera campur tangan serta menarik balik hukuman sebat itu.
“Beliau juga mesti ambil langkah mengikut undang-undang tempatan supaya mengharamkan hukuman tidak berperikemanusiaan khususnya terhadap kanak-kanak,” kata pemangku Setiausaha Agungnya, Claudio Cordone.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan