Sabah Tubuh Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri
KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan menubuhkan sebuah pasukan petugas bagi memantau integriti penjawat awam negeri dalam pelbagai program dan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata Pasukan Petugas Pengawasan Integriti Negeri itu akan diketuai oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Datuk Nordin Siman.
"Bagi memastikan kejayaan setiap perancangan, pelaksanaan dan kejayaan program pembangunan, nilai integriti perlu mendasari apa juga tindakan seluruh anggota perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan di sini Rabu.
Selain JPAN, beliau berkata pasukan itu juga akan dianggotai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Pengaduan Awam Negeri dan Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri.
Musa berkata pasukan itu bertanggungjawab, antaranya, memantau keberkesanan pelaksanaan program integriti, kualiti dan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Selain itu, pasukan itu juga akan melakukan pemeriksaan mengejut atau "Mystery Shopping" di semua agensi kerajaan dan mengemukakan laporan serta merta kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman atau ketua jabatan berkenaan serta mengesyorkan cadangan penambahbaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan