Mayat jadi sekatan jalan
Timbunan beribu-ribu mayat dikumpulkan di kawasan lapang di hadapan rumah mayat Hospital Besar Port-au-Prince, Haiti dua hari selepas gempa berlaku. - AFP
PORT-AU-PRINCE 15 Jan. - Penduduk Haiti yang marah telah bertindak menggunakan timbunan mayat sebagai sekatan jalan raya di bandar ini sebagai protes terhadap kelewatan bantuan kecemasan selepas negara ini dilanda gempa bumi.
Seorang saksi, jurugambar majalahTIME, Shaul Schwarz berkata, dia menyaksikan sekurang-kurangnya dua sekatan jalan raya di pusat bandar yang dibina dengan menggunakan mayat-mayat mangsa gempa bumi dan batu.
"Mereka mula melakukan sekatan dengan menggunakan mayat mangsa, nampaknya keadaan semakin teruk di sini kerana orang ramai semakin kecewa kerana tidak ada bantuan yang diterima," katanya kepada pemberita.
Menurut pasukan Palang Merah Haiti, tiga juta penduduk dilaporkan cedera dan hilang tempat tinggal akibat gempa bumi berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda negara ini Selasa lalu.
Ketika usaha bantuan kecemasan tampak samar, beribu-ribu mangsa masih terperangkap dalam runtuhan bangunan.
"Setakat ini, kami telah menanam kira-kira 7,000 mayat di sebuah kubur yang amat besar," kata Presiden Palang Merah Haiti, Rene Preval.
Seorang pegawai Keselamatan Pantai Amerika Syarikat, Paul Cormier, 54, yang juga pemilik rumah anak yatim di Haiti berkata, jumlah kematian akan meningkat jika ribuan rakyat Haiti yang cedera tidak dirawat secepat mungkin.
Sementara itu, kejadian mencuri di Haiti semakin tidak terkawal apabila ada pihak yang mengambil kesempatan mencuri barang elektrik dan juga makanan.
"Polis sedang sibuk melakukan operasi menyelamat dan tidak ada masa menjaga keselamatan awam," kata seorang pemilik kilang, Manuel Deheusch.
---
Lihat Gambar Kesan Gempa Bumi Haiti Di Bawah
Haiti's Earthquake Destruction: TIME Exclusive Photographs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan