Sabtu, Januari 23, 2010

LIPUTAN PERKHIDMATAN TELEFON SELULAR DI SABAH AKAN MENINGKAT KEPADA 85 PERATUS MENJELANG AKHIR TAHUN INI DENGAN PEMBINAAN 212 MENARA TELEKOMUNIKASI

Liputan Telefon Selular Sabah Meningkat Kepada 85 Peratus Tahun Ini - Rais

TAWAU, 23 Jan (Bernama) -- Liputan perkhidmatan telefon selular di Sabah akan meningkat kepada 85 peratus menjelang akhir tahun ini dengan pembinaan 212 menara telekomunikasi, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Sabtu.

Pada masa ini liputan perkhidmatan selular di negeri itu adalah 75 peratus, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat "Motivasi Pendidikan" di Kampung Batu Payung, di sini.

Rais berkata pembinaan 60 daripada menara itu akan bermula bulan depan.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM300 juta untuk meningkatkan liputan telekomunikasi di negeri ini bagi memastikan pengguna di kawasan luar bandar dapat menikmati liputan telefon bimbit yang memuaskan," katanya.

Merujuk kepada pengumpulan data mengenai penembusan jalur lebar di negara ini, Rais berkata pengumpulan data itu wajar meliputi telefon bimbit yang pada masa ini berjumlah 28 juta unit di seluruh negara.

Ini kerana katanya, kebanyakan telefon bimbit pada masa kini turut diguna untuk perkhidmatan jalur lebar.

Sekarang pengumpulan data berkenaan jalur lebar hanya berdasarkan penggunaan isi rumah. Malaysia mensasarkan penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

Beliau turut meminta syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia supaya mempertingkatkan kualiti, kelajuan dan menurunkan harga perkhidmatan jalur lebar serta mempopularkan penggunaan internet di kawasan luar bandar.

Katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memantau syarikat telekomunikasi tempatan berdasarkan tiga aspek itu sebagai keutamaan dalam operasinya.

q**c

Tiada ulasan:

Catat Ulasan