Selasa, Disember 15, 2009

KANAK-KANAK WARGA ASING TUKAR HALUAN DARI KILAT KASUT KEPADA JUAL ROKOK

KENINGAU 15th December, 2009: Kanak-kanak rakyat asing di daerah ini yang dahulunya menjadikan perkhidmatan mengilat kasut sebagai sumber pendapatan kini menukar haluan menjadi penjual rokok haram.

Kalau dulu, mereka yang memakai kasut kulit belum sempat membuat pesanan minuman atau makanan di beberapa kedai minum dan restoran di sekitar pekan ini mereka sudah didatangi oleh kanak-kanak rakyat asing yang menawarkan perkhidmatan mengilat kasut dengan bayaran 50 sen sepasang.

Tetapi sejak kebelakangan ini tidak ada lagi perkhidmatan mengilat kasut kerana semua kanak-kanak rakyat asing yang menjalankan kegiatan itu sudah menukar haluan mereka dengan menjual rokok haram yang mungkin mengikuti jejak ibu bapa mereka yang menjadikan rokok haram sebagai sumber rezeki di sekitar pekan ini.

Sekumpulan kanak-kanak rakyat asing yang ditemui semasa menjual rokok di sekitar pekan ini memberitahu, kini mereka tidak menjalankan perkhidmatan mengilat kasut kerana bayaran 50 sen sepasang tidak cukup makan berikutan kos sara hidup mereka yang semakin meningkat.

“Kami minta naik bayaran mengilat sepasang kasut RM 1.00 tetapi bos-bos tidak mahu bayar,” jelas seorang kanak-kanak rakyat asing yang tidak mahu memberitahu namanya.

Justeru itulah katanya, mereka menukar haluan menjadi penjual rokok secara bergerak sama dengan sistem mengilat kasut dulu.

“Jual rokok ada untung berbanding kerja mengilat kasut kerana rokok laku ba,” kata seorang lagi kanak-kanak rakyat asing yang hanya memperkenalkan dirinya Aksah.

Tinjauan New Sabah Times di sekitar pekan ini mendapati kanak-kanak rakyat asing menjalankan kegiatan menjual rokok haram secara bergerak dan keluar masuk dari kedai-kedai kopi dan restoran dengan tidak segan silu menghulurkan rokok dan berkata, ‘rokok bos, rokok bos’.

Sementara ibu-ibu mereka duduk di setiap sudut laluan orang ramai terutama penggemar rokok murah yang sendiri mencari lokasi penjualan rokok haram.

Di sebalik kebebasan penjualan rokok haram atau lebih dikenali rokok seludup ini ada pula pihak yang mempersoalkan sejauh mana keberkesanan pemantauan pihak Kastam yang sudah berpejabat di daerah ini.

Mereka berkata, dulu tiada pejabat Kastam, tidak ada kanak-kanak rakyat asing yang menjual rokok tetapi sekarang ada pejabat semakin bertambah penjual rokok haram jika direkodkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan