MINAT...pengunjung melihat pameran herba Orang Asli.
KUALA LUMPUR: Penggunaan tema ‘Magis Belantara Herba Orang Asli’ bagi pameran herba yang dianjurkan di Galeri 2, Muzium Negara sesuai dengan keajaiban dan keunikan dimiliki oleh herba tempatan yang mengandungi khasiat dan rahsia semula jadi bagi menyembuhkan segala jenis penyakit secara tradisional.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail berkata, herba tempatan seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah sememangnya sudah diketahui kemujaraban dan kebaikannya untuk kesihatan, namun orang ramai masih tidak mengetahui terdapat banyak lagi herba yang berkualiti sesuai digunakan bagi merawat penyakit sama ada luaran mahupun dalaman.
“Antaranya, ubi jaga bagi merawat sakit pinggang, meningkatkan tenaga dalaman lelaki dan membantu proses pelawasan. manakala herba akar bukit atau dikenali sebagai sekentut pula mujarab untuk demam panas,” katanya ketika ditemui di pameran Magis Belantara Herba Orang Asli, di sini.
Katanya, pameran ini dapat memberi pengetahuan dan pendedahan lebih terperinci kepada masyarakat, di samping menggalakkan penyelidikan herba di pusat pengajian tinggi dan agensi kerajaan atau swasta yang lain.
Pameran anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia ini bertujuan menonjolkan keistimewaan herba yang berkait rapat dengan budaya dan adat resam masyarakat orang Asli serta penggunaannya dalam sistem perubatan dari segi fizikal mahupun ritual.
Kira-kira 118 jenis herba dan 10 jenis peralatan yang digunakan dalam perubatan orang Asli dipamerkan malah segala pantang larang ketika mengambil herba serta upacara perubatan Sewang turut menarik perhatian pelawat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan