Jumaat, Ogos 28, 2009

PEMILIK TERNAKAN SUSAHKAN PENDUDUK

KOTA BELUD, Jumaat, 28 Ogos 2009: Sikap segelintir penduduk di daerah ini membiarkan ternakan mereka, terutama lembu berkeliaran menimbulkan masalah apabila perhentian bas yang baru siap dibina menjadi ‘kandang’ baru haiwan berkenaan.

Terbaru, perhentian bas di Jalan Lintas Kudat yang menghubungkan Kota Belud-Kudat berhampiran Kampung Jawi-Jawi yang mula beroperasi tiga bulan lalu, dikesan menjadi tempat ternakan itu berteduh daripada panas dan hujan.

Keadaan itu dengan sendirinya membuatkan kemudahan awam disediakan kerajaan sia-sia kerana ia sepatutnya dimanfaatkan rakyat dan bukan ternakan, sekali gus mencerminkan pembaziran wang rakyat.

Sikap penduduk setempat yang dipercayai membiarkan ternakan berkeliaran di jalan raya untuk mencari makanan turut menyumbang kepada perhentian bas menjadi kandang ternakan.

Seorang penduduk Kampung Jawi-Jawi, di sini, Saya Dogong, 55, mendakwa terpaksa menunggu bas di tengah panas terik matahari kerana perhentian bas berkenaan dipenuhi lembu ‘berehat’.

“Ada lembu berkenaan bertindak ganas menanduk atau mengejar individu yang cuba mengusir haiwan berkenaan, menyebabkan penduduk tiada pilihan kecuali menunggu kenderaan awam di tengah panas dan hujan,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Tinjauan mendapati sekurang-kurangnya tiga perhentian bas di laluan Jalan Lintas Kudat menjadi sasaran tempat lembu berteduh iaitu di Kampung Jawi-jawi, Labuan, Wakap dan Sembirai.

Malah, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan berpunca daripada pemandu cuba mengelak lembu yang berkeliaran di jalan raya itu, selain ada kenderaan merempuh ternakan berkenaan.

Seorang penduduk Kampung Wakap, Amzani Basirin, 33, berkata tabiat buruk yang memandang mudah tanggungjawab ke atas ternakan itu wajar dihentikan demi kepentingan awam, terutama pengguna jalan raya.

“Lembu berteduh di perhentian bas bukan saja mencacatkan pemandangan, mengakibatkan kemalangan jalan raya dan pengguna sukar mencari tempat menunggu bas, malah ia turut menjejaskan sektor penternakan kerana haiwan berkenaan tidak produktif,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan