KENINGAU 6 Jun - Kerajaan Sabah akan memperkukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah kekurangan kemudahan asas, prasarana tambahan dan tenaga pengajar di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kekurangan tersebut perlu diatasi segera bagi memastikan kualiti pendidikan di Sabah tidak terus ketinggalan berbanding negeri lain.
"Masih terdapat banyak kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan perhatian sewajarnya, terutamanya prasarana sokongan, kemudahan pembelajaran dan tenaga pendidik berkualiti.
"Kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi memacu lebih banyak perubahan dan pembaharuan dalam bidang pendidikan di negeri ini," katanya.
Musa berkata, kerajaan negeri meletakkan agenda pembangunan pendidikan sama penting dengan agenda pembangunan lain selaras dengan hala tuju Bajet Sabah 2009.
Bajet tersebut katanya, amat mementingkan pendidikan dan buktinya sebanyak RM188.14 juta diperuntukkan untuk bidang tersebut.
"Kejayaan pembangunan pendidikan bukan pada penyediaan prasarana yang canggih atau moden sahaja tetapi kemampuan membentuk generasi berilmu dan berakhlak mulia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan