Selasa, Jun 09, 2009

PERANAN AHLI JAWATANKUASA MASJID DIPERLUAS

image KUALA LUMPUR 8 Jun - Peranan 22,618 ahli jawatankuasa masjid di negara ini akan diperluaskan kepada memberi keutamaan terhadap aspek sejarah, budaya, seni dan warisan Islam sendiri.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, fungsi ahli jawatankuasa masjid tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti harian institusi Islam seperti solat berjemaah dan membersihkan masjid semata-mata.

Sebaliknya, jelas beliau, aktiviti lain menekankan unsur bersatu padu yang menarik minat golongan muda perlu ditambah untuk menjamin kekuatan agama Islam di dunia.

''Kita perlu kembangkan skop tugas 22,618 ahli jawatankuasa masjid termasuk 13,444 imam di seluruh negara kepada aspek yang berciri sejarah, budaya dan warisan Islam.

''Ia menjamin tarikan golongan muda terhadap Islam selain mempelbagaikan peranan masjid itu sendiri sebagai pusat seni agama,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis 'Jejak Warisan Masjid' sempena meraikan Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam 2009 di Masjid Negara hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Zuraina Majid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan