Selasa, Jun 09, 2009

ISU TUNTUTAN BERTINDIH PADANG RAGUT WAJAR DISELESAI

KOTA KINABALU: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Wakap, Kota Belud meminta Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menguatkuasakan undang-undang sewajarnya bagi menyelesaikan isu tuntutan bertindih padang ragut Kuala Pintasan, Kota Belud yang diperuntukkan kepada kampung itu.

Ketua Kampung Wakap, Ogong Suntoh, mendakwa penduduk kampung itu adalah pemegang amanah kawasan seluas 121.2 hektar tapak padang ragut yang dikurniakan kerajaan Borneo Utara pada 1956 dan diperakui kerajaan negeri hingga sekarang.

Katanya, ada penduduk kampung tertentu yang cuba mengusahakan tanah rizab yang diperuntukkan kepada kampung mereka termasuk penduduk kampungnya menerima ugutan dicederakan sekiranya tidak meninggalkan kawasan berkenaan.

Beliau berkata, penyelesaian secara adil termasuk menggunakan dokumen asal pemilik tapak itu penting untuk menyelesaikan isu terbabit.

"Apa yang paling membimbangkan kami ialah berlaku perselisihan faham dan ugutan antara dua kaum yang bersaudara iaitu Bajau dan Iranun. Kita bimbang kalau ia melarat hingga boleh menimbulkan sentimen perkauman," katanya dalam sesi dialog mengenai padang ragut Kuala Pintasan di kediaman Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli di Likas, di sini kelmarin.

Mengenai projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan yang bakal dilaksanakan tahun ini, Ogong berkata, penduduk Kampung Wakap tidak menentangnya kerana menyedari ia bertujuan membasmi kemiskinan tegar.

Bagaimanapun, mereka memohon supaya kawasan yang dikurniakan kepada kampung itu dikecualikan daripada projek berkenaan demi kepentingan penduduk kampung.

"Kami juga mahu menyertai pelbagai projek pembasmian kemiskinan dengan mengusahakan perniagaan pembekalan rumput di tapak padang ragut dikurniakan kepada Kampung Wakap untuk dibekalkan ke projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan yang diusahakan sebagai ladang lembu tenusu dan pedaging.

"Kami mahu mengusahakan penternakan lembu dan kambing untuk membebaskan penduduk miskin tegar dan relatif di kampung kami daripada status itu serta membantu meningkatkan pengeluaran daging ruminan Sabah," katanya.

Padang ragut Kuala Pintasan tersenarai dalam lima projek Agropolitan bernilai RM370 juta akan dilaksanakan tahun ini dan tahun depan melalui program Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang mensasarkan 5,500 Ketua Isi rumah Miskin Tegar (KIRMT).

Pada 19 Mei lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, mengumumkan projek Agropolitan Kota Belud di Kuala Pintasan dan Kampung Rosok/Surun memfokuskan penternakan lembu tenusu serta pedaging dan penanaman getah bernilai RM70 juta di tapak seluas 800 hektar yang akan dilaksanakan tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan