Rabu, Jun 24, 2009

PENDUDUK JANGAN LINDUNGI WARGA ASING

KENINGAU, 24 Jun 2009: Pemimpin masyarakat pada peringkat kampung di daerah ini perlu sentiasa memantau tahap keselamatan kawasan, terutama dalam memastikan tidak wujud penempatan pendatang tanpa izin secara haram.

image Pegawai Daerah Keningau, Amat Yusof, berkata keselamatan kampung adalah tanggungjawab bersama pemimpin dan penduduk di kawasan berkenaan dan sebarang percubaan bersubahat dengan memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin terutama menyewakan kediaman, adalah kesalahan besar.

"Sebaliknya, kita mahu penduduk membuat laporan kepada pemimpin masyarakat di kampung masing-masing jika mengesan ada warga asing tanpa izin cuba mendiami penempatan mereka," katanya berucap merasmikan majlis dialog pemimpin bersama masyarakat di sini, kelmarin.

Program dihadiri lebih 100 pemimpin merangkumi ketua daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan ketua kampung sekitar Keningau dan Sook.

Amat berkata, pemimpin masyarakat perlu mematuhi garis panduan dan dasar kerajaan dengan bersikap profesional sepanjang menjalankan tugas.

Katanya, sesama pemimpin juga perlu saling berhubung dan membantu mengatasi isu berbangkit supaya masalah dihadapi tidak berlarutan menjadi pertikaian atau perbalahan di kalangan penduduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan