PUTRAJAYA 5 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui sempadan negara terutama kawasan perairan mudah dibolosi menyebabkan pendatang asing tanpa izin (PATI) sering keluar masuk melalui jalan laut.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keadaan itu ditambah dengan bentuk geografi khususnya kawasan pantai yang menyukarkan lagi pihak berkuasa untuk membendung aktiviti penyeludupan manusia.
''Ini memang satu realiti yang perlu kita terima.
''Nak bendung atau ambil perhatian kepada sempadan terutama kawasan pantai bukan perkara yang mudah," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.
Menurut Hishammuddin, beliau tidak mahu menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, apa yang penting adalah berusaha bersungguh- sungguh mencari jalan penyelesaian termasuk menggunakan kaedah-kaedah baru.
Antaranya menggabungkan tugas serta peranan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin.
''Saya akan umumkan bentuk tindakan yang kerajaan bakal ambil bagi mengatasi masalah ini selepas perbincangan bersama kedua-dua jawatankuasa ini tidak lama lagi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan