Isnin, Mei 18, 2009

SABAH PERKENAL MEKANISME NILAI KEPUASAN RAKYAT LUAR BANDAR

EWON EBIN / BN SABAH TAWAU, 18 Mei (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan memperkenalkan satu mekanisme bagi menilai tahap kepuasan penduduk luar bandar terhadap program dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Dr Ewon Ebin berkata mekanisme seperti itu perlu bagi mendapatkan maklumat balas terus dan jelas daripada rakyat serta dapat membantu kerajaan mengatasi apa-apa kekurangan yang ada.

"Kita ingin melihat apa masalah rakyat dan bagaimana kepuasan mereka terhadap kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tawau di sini semalam.

Ewon, yang dilantik menerajui kementerian itu dalam rombakan kabinet Sabah baru-baru ini, berkata idea itu juga selaras dengan mekanisme sedia ada di peringkat kerajaan pusat.

Katanya sebagai langkah permulaan beliau akan membuat lawatan dan tinjauan ke kawasan-kawasan luar bandar bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung projek dan program kerajaan yang sedang dilaksanakan.

Ewon berkata perkara itu perlu dilakukan sejajar dengan penekanan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan wakil rakyat dan pemimpin Barisan Nasional turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat berdasarkan konsep "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Terdahulu dalam ucapannya Dr Ewon berharap rakyat Malaysia berbilang kaum supaya menjadikan perayaan etnik seperti Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun itu sebagai landasan untuk memperkukuh perpaduan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan