Sabtu, Mei 09, 2009

PROJEK PERUNTUKAN KHAS RM1 BILION SABAH SEDANG DILAKSANAKAN

imageKOTA KINABALU, 9 Mei (Bernama)May 09, 2009 18:09 PM -- Kesemua projek di bawah peruntukan khas RM1 bilion untuk Sabah seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas sedang dilaksanakan, kata Pegawai Kemajuan Negeri Sabah (SDO) Matusin Sunsang.

Beliau berkata separuh daripada jumlah peruntukan itu sudah diperolehi manakala bakinya akan disalurkan pada tahun depan.

Katanya walaupun Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri merupakan agensi pusat yang menyelaras peruntukan itu, tapi kerajaan negeri sebelum ini sudah meminta kelulusan khas untuk mendapatkan terus RM250 juta.

"RM250 juta sudah disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala RM200 juta kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah untuk membiayai projek-projek yang sedang dilaksanakan atau dalam perancangan di bawah Rancangan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis mesra SDO bersama media di sini, Sabtu.

"(Baki) RM50 juta untuk tahun ini, apabila dikehendaki baru ia akan diminta, kalau perlu, tahun ini kita minta, kalau tidak bawa ke tahun depan menjadikan jumlah RM550 juta bagi 2010," tambahnya.

Katanya kebanyakan projek di bawah peruntukan khas itu adalah untuk projek infrastruktur, dan antara empat projek besar yang dibiayai adalah jalan berkembar di Lahad Datu (RM95 juta), jalan berkembar di Keningau (RM50 juta), Jalan Talantang di Kota Marudu (RM50 juta) dan Jambatan Sitompok di Kuala Penyu (RM60 juta).

Menyentuh mengenai majlis hari ini, Matusin berkata program berkenaan adalah sebagai permulaan untuk merapatkan kerjasama antara SDO dan media.

SDO ditubuhkan selaku agensi kerajaan pusat peringkat negeri, menggantikan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) yang dimansuhkan pada Mei tahun lalu.

image Sementara itu presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat perlaksanaan program pembangunan.

Katanya rakyat selalu menemui media untuk mengadu sekiranya mereka menghadapi masalah pembangunan, namun begitu liputan oleh media bukan bermaksud untuk memburukkan kerajaan, tetapi supaya tindakan segera boleh diambil untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan