KENINGAU, 21st May, 2009: Ketua Polis Keningau DSP Zahari Mohammed menghormati kebimbangan penduduk, dan tidak menolak satu cadangan umum mengenai penggunaan pengimbas satelit, bagi mengesan peninggalan bom di kawasan sebuah tapak pembinaan, berhampiran Kg. Toboh Baru, selepas bom keempat ditemui kira-kira jam 11.30 pagi pada Rabu.
“Kita bersetuju jika ia satu penyelesaian yang terbaik,” katanya, ketika ditemui selepas memberi taklimat kepada pengamal media mengenai penemuan bom keempat itu.
Mempunyai jarak kekuatan kira-kira 800 meter, bom keempat yang ditemui itu dikenali sebagai UXO Bom, dipercayai digunakan oleh tentera bersekutu untuk melumpuhkan lojistik tentera Jepun semasa perang dunia kedua.
Bom yang berfungsi sebagai pembakar itu, seberat 250Ib dan mempunyai ukur lilit 2 kaki 8 inci serta sepanjang 4 kaki 7 inci.
Zahari berkata, bom itu ditemui oleh seorang pekerja ketika kerja-kerja meratakan kawasan itu sedang dilakukan, dan terletak kira-kira 20 meter daripada penemuan bom ketiga yang berjaya diletupkan kira-kira seminggu yang lalu.
Kedudukan diantara empat bom yang ditemui di tapak itu, ialah diantara 30 hingga 100 meter diantara satu.
Sebelum ini penduduk disekitar mencadangkan kawasan itu diimbas dengan menggunakan teknologi satelit, bagi tujuan mengesan kemungkinan masih banyak lagi bom-bom peninggalan, sama ada milik tentera Jepun atau bersekutu tertimbus di kawasan itu.
Wakil Rakyat Liawan Datuk Sairin Karno ketika dihubungi, bersetuju dengan cadangan itu dan berkata; “Ia perlu bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin,”.
Lokasi berisiko bom itu terletak berhampiran dengan sebuah hospital daerah Keningau, dan penemuan demi penemuan bom peninggalan perang merisaukan pesakit serta penduduk yang tinggal di sekitar.
Ketika berita ini ditulis, kawasan itu telah ditutup kepada orang ramai untuk memberi laluan selesa kepada pihak keselamatan, untuk melakukan persiapan meletupkan bom tersebut.
monindorosi....
BalasPadam