MANILA, 21 Mei 2009: Malaysia semalam menyerahkan lima militan disyaki ada kaitan dengan al-Qaeda yang sudah lama diburu di Filipina kerana didakwa terbabit dalam penculikan berprofil tinggi dan serangan bom.
Kelima-lima anggota Abu Sayyaf terbabit ditahan sebaik saja tiba di lapangan terbang antarabangsa Manila.
"Seorang daripadanya dikehendaki oleh Amerika Syarikat kerana terbabit kejadian serangan pengganas," kata pegawai.
Mereka ialah Mohammad Hatta Haipe, Borhan Mundos, Gulam Mundos, Suffian Salih and Hasim Talib yang ditahan di Malaysia beberapa tahun lalu kerana melanggar undang-undang imigresen.
Menurut majlis antipengganas, pegawai keselamatan Filipina percaya Borhan pernah menjadi pegawai kewangan Abu Sayyaf dan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di Indonesia, Jemaah Islamiyah yang dituduh melakukan pengeboman maut, penculikan dan memancung kepala tebusan.
Gulam dikaitkan dengan serangan bom di sebuah gedung perniagaan di bandar raya pelabuhan Jeneral Santos pada 2002.
Menurut majlis berkenaan Suffian dan Hasim pula dituduh terbabit dalam penculikan 10 pelancong Eropah, 11 rakyat Malaysia dan pekerja Filipina pada April 2000 di Pulau Sipadan
Tebusan berkenaan dibebaskan selepas sejumlah pampasan yang besar dibayar kepada mereka dilaporkan dibiayai oleh Libya.
Polis berkata, pihak berkuasa Amerika dijangka akan meminta kebenaran untuk menemui Mohammad Hatta yang disyaki terbabit dalam serangan pengganas yang tidak dinyatakan secara khusus pada masa lalu, menyasarkan rakyat Amerika di Filipina. Kedutaan Amerika di Manila enggan mengulas mengenai Mohammad Hatta, kecuali menyatakan mereka tahu dia sudah pun diserahkan kepada Filipina.
Kumpulan Abu Sayyaf mempunyai kira-kira 400 pejuang dan dituduh melakukan sebilangan penculikan, pengeboman dan memancung kepala. Ia dipercayai menerima bantuan kewangan daripada al-Qaeda dan disenaraikan dalam senarai pertubuhan pengganas AS. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan