KOTA KINABALU, 29 Mei (Bernama) -- Seramai 389,129 pendatang tanpa izin ditangkap di Sabah bagi tempoh 1990 hingga tahun lepas, dan 315,752 daripada mereka telah dihantar pulang ke negara asal, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Sukarti Wakiman.
Katanya kejayaan itu menunjukkan kerajaan tidak pernah memberi ruang dan peluang kepada pendatang tanpa izin untuk memasuki Sabah secara haram.
"Sebaliknya kerajaan telah melancarkan operasi membanteras pendatang tanpa izin secara berterusan dan menyeluruh, dan dengan kerjasama semua pihak, tindakan bersepadu semua agensi penguatkuasa terbukti berjaya dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengenai operasi besar-besaran memburu pendatang tanpa izin yang dilancarkan sejak Ogos tahun lepas, Sukarti berkata sejak itu 24,269 pendatang tanpa izin yang kebanyakannya warga Filipina diberkas dan ditempatkan di beberapa Pusat Tahanan Sementara di seluruh negeri sebelum 19,151 dihantar pulang ke negara asal manakala selebihnya sedang menjalani hukuman penjara setelah disabit kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Sukarti, yang juga ketua operasi bersepadu itu, berkata bagi tahun ini, sebanyak 13 operasi telah dilakukan yang menyaksikan 14,286 orang asing diperiksa dan 6,045 daripada mereka ditahan.
Operasi bersepadu dan operasi harian itu akan berterusan sehingga 31 Disember tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan