KOTA KINABALU, 20 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri mensasarkan ketibaan pelawat ke Sabah adalah 2.23 juta orang tahun ini, tiga peratus lebih rendah berbanding tahun lalu.
Menterinya Datuk Masidi Manjun berkata ia disebabkan kesan krisis ekonomi global terhadap industri pelancongan negeri yang mula dilihat pada awal tahun 2009 dengan trend ketibaan pelawat yang menurun.
"Bagi tempoh dua bulan pertama 2009, jumlah keseluruhan ketibaan pelawat ke negeri Sabah menurun sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2008," katanya menjawab soalan Datuk Syed Abas Syed Ali (BN-Balung) semasa sesi soal-jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Syed Abas bertanya apakah kesan krisis ekonomi semasa terhadap pelancongan di negeri Sabah dan apakah program yang disusun oleh kerajaan dalam menarik pelancong di Sabah.
Namun begitu, Masidi berkata ketibaan pelawat domestik telah merekodkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus bagi tempoh itu berbanding tahun lalu, dan ketibaan pelancong dari beberapa rantau Asia dan juga Eropah merekodkan pertumbuhan yang menggalakkan.
"Ketibaan pelancong Singapura merekodkan peningkatan sebanyak 40.2 peratus untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas manakala jumlah ketibaan pelawat Indonesia dan Filipina melalui penerbangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 21.9 peratus dan 5.2 peratus.
"Ketibaan pelancong dari Jerman, Denmark, Norway, Sweden, Netherlands dan Rusia juga meningkat, masing-masing kepada 100.8 peratus, 3.6 peratus, 61.6 peratus, 1.8 peratus, 10.1 peratus dan 28.2 peratus," katanya.
Katanya antara strategi untuk mempertingkatkan program pemasaran dan promosi adalah bekerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Etihad Airways dan Royal Brunei Airlines untuk promosi bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan