Khamis, April 02, 2009

SABAH PERUNTUK RM2.37 BLN UTK PEMBANGUNAN PRASARANA SDC

EWON EBIN / BN SABAH KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan membelanjakan RM2.37 bilion dalam tempoh dua tahun untuk pembangunan prasarana dan penanaman kelapa sawit di Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kata seorang pegawai kanan kerajaan negeri hari ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Ismail Abdullah berkata tender sudah dikeluarkan untuk beberapa projek.

Katanya kerajaan negeri merancang membelanjakan lebih daripada RM600 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk Kluster Perindustrian Minyak Sawit.

"Semuanya berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas seminar mengenai peluang pelaburan di Sabah.

Menteri Pembangunan Industri negeri Datuk Ewon Ebin berkata kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian, pelancongan dan pengilangan akan mencergaskan pembangunan ekonomi di negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terlibat secara langsung dalam program berkaitan konsep Satu Daerah, Satu Industri, industri biofuel dan industri minyak dan gas di SDC.

"Sejumlah RM28.5 juta diperuntukkan untuk tujuan itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan," katanya dalam ucaptama pada seminar itu.

Menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, Ewon berkata Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM10 juta untuk usahawan kecil dan sederhana, yang beroperasi di Estet Perindustrian Kimanis dan RM44 juta untuk Kompleks Petrokimia Bersepadu.

Tahun lepas, 56 projek pengilangan diluluskan untuk negeri berkenaan, dengan pelaburan dicadangkan berjumlah RM1.09 bilion yang bakal menyediakan 2,868 pekerjaan, katanya.

Daripada projek yang diluluskan itu, pelaburan domestik berjumlah RM697.52 juta manakala modal asing bernilai RM200.35 juta dan selebihnya berjumlah RM191.82 juta, katanya, sambil menambah kerajaan negeri sedang berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing bagi mencergaskan lagi ekonomi negeri.

Meskipun wujud dasar yang kukuh dan ekonomi yang pada asasnya terpencil, katanya sektor pengilangan di negeri itu tidak terlepas daripada mengalami kejutan global.

"Berdasarkan perkembangan global, sektor itu perlu berhadapan dengan cabaran seperti kos pengeluaran yang meningkat, ketidaktentuan pasaran, amalan perdagangan luar jangka serta langkah perlindungan yang semakin bertambah," katanya.

Ewon berkata Sabah menetapkan sasaran untuk menarik syarikat bertaraf dunia bagi mempercepatkan pertumbuhan industri pengilangan berasaskan sumber.

"Fokus sektor pengilangan ialah untuk memanfaatkan sumber aslinya seperti minyak kelapa sawit, biofuel dan minyak dan gas.

"Pakej insentif yang berdaya saing akan terus disediakan untuk menarik pelaburan asing dan sektor swasta dalam sektor yang menerima galakan, termasuk pengilangan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan