KOTA KINABALU 21 April - Antara faktor utama pencapaian akademik sekolah-sekolah di pedalaman Sabah kurang memberangsangkan ialah kerana ketiadaan bekalan elektrik dan air yang sempurna.
Datuk Zakaria Mohd. Edris (BN-Gum-Gum) berkata, masalah itu bukan baru, malah tidak pernah selesai walaupun Sabah telah menyertai pembentukan Malaysia 46 tahun lalu.
"Bagaimana pelajar boleh belajar dengan sempurna dan guru dapat mengajar dengan baik jika kemudahan asas seperti air dan elektrik pun tidak ada.
"Jangan salahkan mereka kalau taraf pencapaian akademik terus ketinggalan jika tidak diusahakan untuk membekalkan kemudahan itu," katanya ketika berucap membahas usul ucapan dasar Yang Dipertua Sabah pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan Sabah Electricity Sdn. Bhd. supaya membekalkan elektrik dengan menggunakan tenaga solar atau hibrid.
Sistem tersebut, katanya, perlu disalur tanpa henti setiap hari bukan sahaja ke sekolah tetapi juga dibekal di semua kawasan luar bandar yang masih tidak mempunyai kemudahan itu.
Bagi kawasan yang tidak relevan untuk digunakan tenaga tersebut, beliau berkata, kerajaan perlu mengusahakan sumber tenaga lain yang lebih bersesuaian dan menjimatkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan