KOTA KINABALU 22nd April, 2009: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau, Saddi Haji Abdul Rahman kelmarin menarik perhatian sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri dengan memfokus-kan kegagalan sebahagian sistem penyampaian kakitangan awam yang menyebabkan beberapa isu berbangkit di DUN berkenaan gagal ditangani sekian lama.
Saddi berkata, isu berkaitan pemilikan dan pertindihan tanah rakyat beberapa kampung, soal menjayakan pembangunan dan ekonomi yang disasarkan kerajaan di kawasan itu masih berlarutan, ekoran keengganan segelintir pegawai dipertanggungjawabkan menjalankan tugas berkesan, manakala penduduk terus ketinggalan dalam arus ekonomi dan pembangunan.
“Walaupun semua ini khususnya soal tanah kerap kali saya bawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah (LUC), kakitangan yang diharapkan gagal menyelesaikannya. Bila saya rujuk, mereka buat sambil lewa. Yang mengecewakan ada sikap pegawai yang gemar menghantar wakil bermesyuarat tetapi tidak berupaya membuat keputusan, menyebabkan semua persoalan terus tergendala,” katanya.
Membahas ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri sewaktu merasmikan pembukaan sidang dewan khamis lepas, Saddi berkata, keengganan segelintir kakitangan awam negeri mengiktiraf keistimewaan dan institusi wakil-wakil rakyat di negeri ini menjadi sebahagian fenomena di dalam perkhidmatan awam itu sudah dilihat sebagai lumrah.
Sebagai wakil rakyat yang memastikan kemajuan kawasan Sukau, beliau kerap tidak diundang menghadiri Mesyuarat Majlis Daerah yang diadakan hanya membabitkan kalangan ahli-ahli majlis dan wakil kakitangan awam.
Wakil rakyat itu tidak menolak kemungkinan ada sikap segelintir kakitangan kerajaan di situ yang hanya memilih pemimpin tertentu dan berjawatan penting di peringkat kerajaan bagi membolehkan mereka sedia menghulurkan khidmat diperlukan.
“Di manakah kedudukan institusi kami sebagai wakil rakyat sesudah dipilih oleh rakyat. Kami bukan mahu dihormati. Kami sudah mengabdikan diri kepada rakyat. Maka rakyat terus menilai prestasi bekerja kami setiap lima tahun. Kalau kami gagal, kerajaan BN akan menjadi mangsa kepada kegagalan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan