KOTA KINABALU, 20 Mac (Bernama) -- Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Masidi Manjun Jumaat meminta semua ahli parti supaya meletakkan keyakinan dan kepercayaan terhadap keputusan dan tindakan Lembaga Disiplin parti menangani isu politik wang.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan dua ketua cawangan UMNO Sabah di Silam yang membuat laporan polis hari ini meminta supaya politik wang dalam parti disiasat.
Masidi berkata ketua cawangan dan bahagian harus membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti yang ditubuhkan untuk membincangkan dakwaan tertentu yang dikemukakan oleh ahli.
"Terdapat banyak dakwaan mengenai politik wang. Saya tidak percaya membuat aduan polis akan menyelesaikan masalah itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel kemahiran berasaskan pewter oleh Royal Selangor Marketing Sdn Bhd di Borneo Hypermall di sini hari ini.
"Saya pasti ada ruang yang secukup dalam UMNO sendiri yang dapat menangani aduan tertentu tanpa pergi ke mahkamah atau polis," katanya.
Masidi, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, berkata terdapat peruntukan dalam Perlembagaan UMNO yang melarang ahli daripada membawa isu parti ke mahkamah.
"Pada hakikatnya, sudah ada mekanisme dalaman untuk mengurus semua jenis masalah parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan