Selasa, Mac 19, 2013

‘KEMPEN MEDIA SOSIAL PRU 13 KURANG IMPAK, WALAUPUN BERPENGARUH’

‘Kempen media sosial PRU 13 kurang impak, walaupun berpengaruh’

OLEH MD IZWAN DAN BOO SU-LYN

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Walaupun hampir setengah rakyat Malaysia menggunakan Facebook, impak kempen politik menerusi media sosial dan Internet masih lagi terbelakang berbanding dengan kaedah tradisional lain dalam menarik sokongan pengundi, kata penganalisis dan pemerhati politik tempatan.

Namun, dikala Malaysia menuju pilihan raya yang dianggap paling sengit tidak lama lagi, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) bersaing antara satu sama lain untuk menarik sokongan dengan menggunakan saluran atas talian media sosial dan laman-laman berita Internet.

Sumber dalam industri juga mendedahkan agensi kerajaan, jabatan-jabatan dan parti BN ketika ini membeli sejumlah besar ruang pengiklanan atas talian di kala klip video pro kerajaan dikeluarkan untuk menyaingi bahan-bahan dan iklan pro pembangkang menjelang pilihan raya bulan depan.

Walau bagaimanapun, penganalisis menekankan kempen politik melalui media sosial dan internet tidak akan mempengaruhi sokongan pengundi, khususnya masyarakat luar bandar yang lebih mengutamakan sentuhan peribadi.

Malahan, jumlah pengundi luar bandar antara yang penting dalam menentukan pemenang dalam pilihan raya meskipun pengundi bandar nampak lebih kearah pembangkang PR.

“Media sosial hanya mempunyai impak keatas masyarakat bandar tetapi tidak luar bandar. Pengundi lebih pentingkan isu yang dekat dengan mereka,” kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Baharudin Othman kepada The Malaysian Insider.

“Pendekatan ceramah masih yang terbaik, kerana orang ramai lihat pemimpin dekat dengan mereka,” tambah beliau.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

PR jauh lebih aktif di atas talian dan dilihat telah menguasai ruang siber Malaysia dengan pelbagai laman sesawang dan produksi video termasuk beberapa yang mengetengahkan manifesto mereka yang dilancarkan beberapa minggu lepas.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut menegaskan perkara sama dimana media sosial memainkan peranan kecil  kerana pengundi mula meragui ketepatan maklumat dalam media sosial.

“Media sosial memutar belit banyak berita, sama seperti media arus perdana. Berita yang disampaikan tidak tepat dan kebenarannya diragui,” kata Agus.

“Ya, media sosial memang ada pengaruh, tapi ia tidak akan memberik kesan besar kepada Malaysia. Saya tidak rasa media sosial akan tumbangkan kerajaan, kerana jika ia mampu sudah lama kerajaan sekarang tumbang,” ujar beliau lagi.

Sumber dalam industri juga memberitahu, ruang iklan turut juga dibeli di Youtube Malaysia, salah satu laman paling ramai dilawati dengan dua juta pelawat unik sehari.

Laman perkongsian video dimiliki Google itu juga menyaksikan sejumlah klip video berkait parti politik Malaysia, dengan peningkatan angka produksi pro-BN masuk ke atas talian semenjak beberapa minggu lepas.

Di antaranya menunjukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk seorang lelaki di dalam bilik hotel. Ketua Umum PKR itu mengatakan klip video tersebut sebagai kempen jahat oleh musuh-musuh politiknya dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pejuang siber Umno yang beliau salahkan.

Terdapat beberapa lagi klip video Youtube dengan lagu parodi mengutuk DAP, PAS dan PKR daripada gabungan PR yang menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN di parlimen dalam Pilihan Raya 2008.

“Di Amerika, mereka dapati ia sangat sukar. Oleh sebab itu mereka cipta yang dinamakan pop-up. Rata-rata kita yang menggunakan internet sudah dilatih mata untuk tidak melihat iklan,” kata penganalisis politik Universiti Monash James Chin kepada The Malaysian Insider.

Bagi Chin, parti politik beralih ke media sosial dalam mengiklankan kempen mereka tidak mengejutkan memandangkan peranannya untuk menarik golongan pengundi muda khususnya tetapi meragui medium tersebut mampu mempengaruhi prestasi mana-mana parti dalam pilihan raya nanti.

“Kita tahu pengundi terutamanya pengundi muda merupakan pengundi pembangkang.

“Mereka cuba meningkatkan kempen dilaman siber untuk menarik semula sokongan... sekarang ini saya mengesyaki orang ramai tidak mempercayainya lagi,” kata Chin.

“Salah satu sebab terdapat banyak trafik atas talian adalah kerana mereka berminat dengan gosip,” ujar beliau lagi.

Penganalisis telah menekankan pengundi muda sebagai kelompok pengundi utama yang boleh menentukan kemenangan kerajaan pusat dalam Pilihan Raya 2013.

Pengundi kali pertama membentuk jumlah yang signifikan iaitu sebanyak 30 peratus daripada 13.3 juta pengundi.

---------------------

GE13 social media outreach toothless despite reach, say analysts

Tiada ulasan:

Catat Ulasan