Khamis, Disember 20, 2012

PARK GEUN-HYE PRESIDEN WANITA PERTAMA KOREA SELATAN

Wanita Presiden Korea Selatan

SEOUL 19 Dis. - Calon konservatif, Park Geun-hye melakar sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai Presiden wanita pertama Korea Selatan selepas memenangi undian dalam pilihan raya Presiden yang berlangsung di sini hari ini.

Geun-hye yang merupakan anak perempuan pemimpin diktator yang dibunuh, Park Chung-hee, memperoleh sebanyak 52.5 peratus undi, menewaskan pencabarnya, Moon Jae-in yang merupakan calon liberal dengan 47.1 peratus undi.

Kemenangan tersebut menyaksikan wanita berusia 60 tahun itu bakal berdepan dengan beberapa cabaran getir, termasuk krisis ekonomi dan hubungan tegang dengan Korea Utara.

Dalam ucapan meraikan kemenangannya di ibu pejabat Parti Nasional Utama di sini, Geun-hye berjanji untuk memberikan khidmat terbaik demi kepentingan rakyat.

"Saya akan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Presiden yang sentiasa peka akan semua perkara dan berusaha melunaskan janji terhadap rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Jae-in yang merupakan Ketua Turus kepada bekas Presiden Roh Moo-hyun, mengaku kalah dalam pilihan raya tersebut sambil menyifatkan Geun-hye layak untuk menang.

Pusat-pusat mengundi mula dibuka pada pukul 6 pagi (5 pagi waktu Malaysia) dengan kira-kira 35 peratus pengundi daripada 40 juta orang yang berdaftar telah melaksanakan tanggungjawab mereka menjelang tengah hari, peningkatan besar berbanding pilihan raya 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan