Khamis, Disember 20, 2012

SPA AKAN SEMAK REKOD & DITAPIS SECARA DALAM TALIAN SEBELUM PEMOHON DIPANGGIL TEMUDUGA

Ditapis secara dalam talian

Putrajaya 20/12/2012: Mulai Januari depan, semua permohonan memasuki perkhidmatan awam akan ditapis secara dalam talian sebelum calon yang layak dipanggil menduduki peperiksaan dan temu duga.

Melalui cara ini, tempoh pengesahan jawatan kakitangan awam yang sebelum ini mengambil masa tiga tahun akan disingkatkan kepada antara enam bulan hingga setahun.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam, berkata tapisan itu membabitkan 14 perkara termasuk kesahihan kewarganegaraan, sijil kelayakan serta rekod jenayah dan ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa jam saja bagi setiap calon.

“Kita akan berhubung terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memeriksa sama ada calon itu warga Malaysia dan mengesahkan sijil kelayakan mereka dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Bekerjasama dengan polis

“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan bagi semakan rekod jenayah calon selain Jabatan Insolvensi untuk mengetahui sama ada calon itu muflis atau tidak.

“Ini adalah inovasi pertama kali dilakukan kerana sebelum ini, penapisan latar belakang kakitangan awam hanya dilakukan dalam tempoh tiga tahun sebelum mereka sah jawatan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat SPA dengan kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA, di sini semalam.

Mahmood menjelaskan, cara itu terbukti berkesan apabila pihaknya menjalankan temu duga bagi 24 jawatan jurutera Jun lalu dan surat tawaran perkhidmatan kepada calon yang layak dapat diberikan sebaik saja selesai temu duga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan