Selasa, November 13, 2012

REMAJA ANTARA 3 DITAHAN MENYAMAR POLIS

Remaja antara 3 ditahan menyamar polis

TIGA termasuk dua remaja ditahan selepas menyamar sebagai polis di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Dua remaja antara tiga yang ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai anggota polis ketika cuba untuk memeras ugut seorang penunggang motosikal warga Pakistan di Jalan Loke Yew di sini awal pagi ini.

Lebih mengejutkan, kesemua mereka mempunyai lebih 10 kelengkapan polis termasuk sijil kepolisan, siren polis, kad e-komuniti polis, wisel, walkie-talkie, but polis, sarung tangan polis dan T-Baton yang boleh dilaraskan.

Ketiga-tiga suspek masing- masing berusia 15, 18 dan 20 tahun itu diberkas semasa sedang menahan lelaki warga asing itu yang berusia 32 tahun.

Semasa kejadian pukul 3.30 pagi, kesemua suspek dikatakan menaiki sebuah kereta Perodua Myvi yang dilengkapi dengan siren polis.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek menjerit dan memperkenalkan diri sebagai polis serta mengarahkan mangsa berhenti di bahu jalan.

Kesemua suspek yang memakai baju T lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), kemudian menghampiri penunggang itu lalu mengeluarkan sebuah buku kecil biru juga berlambang PDRM.

Menurut Ketua Unit Penguat Kuasa Khas, Trafik Kuala Lumpur, Asisten Supritendan Azmi Wahid, suspek mengarahkan mangsa menunjukkan lesen memandu, cukai jalan dan pasport.

"Bagaimanapun sebelum sempat mangsa mengeluarkan dompet, lima anggota peronda polis yang secara kebetulan melalui jalan tersebut menghampirinya selepas dilihat dalam situasi mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati ketiga-tiga suspek menipu warga asing itu dengan menyamar sebagai anggota polis. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.

"Siasatan turut mendapati dua remaja berkenaan tidak bersekolah dan bekerja sebagai penjual cakera padat serta pemasang wayar," katanya ketika ditemui di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di sini hari ini.

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan